JOHOR BAHRU – Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran di hulu Sungai Johor, Kota Tinggi pada Jumaat lalu sehingga mengakibatkan lumpur pekat dan air berubah warna seakan putih susu.
Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan, tindakan perundangan akan diambil di bawah peruntukan Enakmen Pejabat Tanah dan Galian (PTG) (Pelesenan) dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang berkenaan.
“Berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, JAS mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan pelepasan bahan pencemar ke dalam alam sekeliling tanpa kebenaran.
“Semakan mendapati aktiviti pengambilan pasir ini tidak tertakluk kepada Penilaian Impak Alam Sekitar atau EIA kerana melibatkan kawasan kurang daripada 20 hektar.
“Hasil mesyuarat antara JAS Johor bersama pihak PTG serta SPAN telah menetapkan bahawa tindakan perundangan akan diambil,” menurut kenyataan itu.
Tegas JAS, pihaknya memandang serius kejadian pencemaran air di kawasan hulu Sungai Johor dekat Kota Tinggi dan telah mengambil tindakan segera berdasarkan bidang kuasa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
Jelas JAS, siasatan segera telah dijalankan oleh pasukannya pukul 11 pagi hari yang sama bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Hasil siasatan mendapati pencemaran berpunca daripada kerosakan pada benteng silt pond di kawasan perlombongan pasir.
“Kerosakan benteng tersebut telah menyebabkan aliran air berlumpur mengalir secara graviti ke alur air berhampiran dan seterusnya memasuki Sungai Johor.
“Pihak syarikat telah mengambil tindakan awal dengan menambak semula benteng yang pecah serta menaikkan paras benteng silt pond bagi menghentikan aliran air berlumpur daripada terus memasuki sungai,” katanya.
Menurut JAS, pihaknya telah mengeluarkan Field Citation (FC) kepada syarikat terbabit untuk mengemukakan laporan terperinci mengenai kerja-kerja penambahbaikan benteng kolam silt pond yang pecah.
JAS juga telah mengeluarkan arahan supaya syarikat melaksanakan pemantauan berterusan ke atas semua silt pond yang beroperasi bagi memastikan tiada insiden pencemaran berulang.
Pemantauan bersepadu di lapangan bersama agensi-agensi berkaitan seperti Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Ranhill SAJ masih diteruskan.
“Siasatan terperinci juga akan diteruskan dan akan mengambil tindakan lanjut termasuk pendakwaan sekiranya terdapat pelanggaran terhadap mana-mana peruntukan undang-undang di bawah Akta 127.
“Agensi-agensi teknikal yang terlibat juga terus menjalankan pemantauan kualiti air secara berterusan bagi memastikan tiada impak serius terhadap operasi loji rawatan air dan sumber bekalan air awam,” katanya.
JAS juga meneruskan pemantauan susulan di lokasi kejadian bagi memastikan semua tindakan penambahbaikan yang diarahkan dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak syarikat.
Pihaknya turut akan memastikan tiada lagi aliran air berlumpur atau bahan pencemar memasuki sistem sungai berhampiran selepas kerja-kerja pembaikan selesai.
“Mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran alam sekitar boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, bergantung kepada kesalahan.
“JAS juga menegaskan bahawa pengusaha aktiviti seperti perlombongan, perindustrian atau pembangunan mesti mengamalkan langkah-langkah kawalan pencemaran yang berkesan dan berterusan terutamanya semasa musim hujan yang berisiko tinggi menyebabkan hakisan dan pelepasan sedimen ke sumber air,” katanya. – MalaysiaGazette
















