Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan sama ada teks perjanjian timbal balik perdagangan (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) dibentangkan ‘baris demi baris’ di Kabinet dan disemak silang oleh kementerian berkaitan.

Menurut beliau, berdasarkan pengalamannya, ia adalah amalan yang sepatutnya yang mana setiap klausa sensitif yang melibatkan kedaulatan, keselamatan dan teknologi mesti ditanda, diperhalusi dan dibahaskan.

Jika tidak, tambahnya, kerajaan hari ini perlu bersedia menjawab di Parlimen, mengemukakan minit mesyuarat Kabinet, membuktikan semakan rentas kementerian telah dibuat dan menjelaskan mengapa perlindungan kedaulatan yang wujud dalam perjanjian negara jiran tidak dimasukkan dalam teks perjanjian negara ini.

Ujarnya, beliau tidak tidak menolak keperluan menjaga hubungan baik dengan AS atau pentingnya akses pasaran global.

Namun, tegasnya, situasi seolah-olah negara terikat pada tafsiran “keselamatan” pihak lain adalah membimbangkan.

“Dalam hal teknologi nuklear, saringan pelaburan, dan mineral kritikal, negara mesti menilai berdasarkan keperluan sendiri, bukan dengan pengaruh luar menentukan keputusannya,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi hantaran sama membangkitkan dua perkara penting dalam ART yang jarang dibincangkan secara terbuka iaitu Artikel 5.2 dan Artikel 5.3(4).

Aspek pertama, ujarnya, Malaysia `akan meneroka’ satu mekanisme untuk menilai pelaburan asing berdasarkan risiko keselamatan negara dan akan bekerjasama dengan AS dalam aspek keselamatan pelaburan.

“Bunyinya mungkin teknikal, tetapi implikasinya mudah: apabila wujud pelaburan strategik seperti dalam sektor telekomunikasi, pusat data, mineral kritikal atau infrastruktur, adakah Washington akan menapis terlebih dahulu pelaburan sebelum diluluskan di Malaysia?” soalnya.

Aspek kedua pula, tambah beliau adalah berkenaan klausa nuklear yang mana Malaysia tidak dibenarkan membeli reaktor nuklear, rod bahan api atau uranium diperkaya daripada “negara tertentu”, kecuali jika tiada pembekal alternatif yang setanding.

Sedangkan, dalam masa sama, tambahnya, Malaysia sendiri telah menyatakan hasrat untuk meneroka tenaga nuklear, termasuk berbincang dengan Rusia dan beberapa rakan lain.

“Dengan klausa ini, ruang pilihan pembekal sudah dikecilkan sejak awal, seolah-olah arah tuju kita mesti condong ke blok Barat.

“Persoalannya, adakah MITI telah meneliti perkara sepenting ini bersama kementerian teknikal seperti MOSTI dan Luar Negeri sebelum dibentangkan ke Kabinet?

“Inilah sebab saya membangkitkan persoalan tentang proses,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast