Alias Rasman

JOHOR BAHRU – Sikap Menteri Besar Johor yang berdiam diri dan tidak memberi jalan penyelesaian berkenaan pencemaran Sungai Johor sejak Jumaat lalu menjejaskan kira-kira satu juta isi rumah dan pendapatan 150 nelayan amat dikesali.

Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) Johor, Alias Rasman berkata, sehingga kini Datuk Onn Hafiz Ghazi masih tidak mengeluarkan kenyataan atau penjelasan, malah tiada tindakan jelas.

“Sikap membisu ini amat mengecewakan. Seorang pemimpin seharusnya tampil ke hadapan ketika rakyat sedang susah dan bukan menghilang di saat mereka menagih penjelasan dan penyelesaian.

“Rakyat Johor tidak menuntut banyak, hanya mahu keperluan asas seperti air bersih terjamin. Apabila masalah ini dibiarkan berlarutan tanpa komunikasi terbuka, ia menimbulkan persoalan besar tentang kecekapan, keutamaan dan keprihatinan pentadbiran negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, slogan Maju Johor tidak akan bermakna jika pemimpinnya gagal menunjukkan rasa tanggungjawab dan empati terhadap rakyat sendiri.

Katanya, negeri yang kaya hasil dan sumber seharusnya mampu menangani isu asas seperti ini dengan segera dan berkesan.

Lebih membimbangkan katanya, bagaimana Johor mahu menguruskan pelaburan besar seperti projek-projek pusat data sekiranya isu pencemaran sungai dan bekalan air masih belum dapat dijamin penyelesaiannya.

Justeru tambah beliau, Menteri Besar Johor perlu tampil segera dan menggunakan sumber serta keupayaan negeri sebaik-baiknya untuk rakyat.

“Jika program seperti Jelajah Orang Johor (JOJ) mampu dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan perbelanjaan besar, maka lebih wajar keutamaan diberikan kepada keperluan asas rakyat terlebih dahulu.

“Rakyat sedang menunggu. Keberanian seorang pemimpin diuji bukan ketika segalanya lancar, tetapi ketika krisis melanda,” katanya.

Jumaat lalu, hulu Sungai Johor, Kota Tinggi tercemar dan disedari penduduk pada pukul 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata, paras kekeruhan air meningkat kepada 37,400 unit Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.

Susulan itu, katanya, kerajaan negeri mengambil langkah segera meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi mencairkan lumpur dan mengurangkan tahap kekeruhan di Sungai Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast