Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 04 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kos penguatkuasaan yang tinggi terhadap golongan T15 menyebabkan kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 kepada 85 peratus rakyat dalam program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia menyebabkan kerajaan terpaksa menangguhkan hasrat itu, apatah lagi jumlah golongan T15 ketika ini sangat kecil.

“Kita letak sasaran mulanya RM13,000 kemudian RM20,000 sebulan. Itu masih menekan golongan kelas menengah atas. Jadi kita nak naikkan RM50,000 sebulan atau lebih kurang, tapi jumlahnya sangat kecil.

“Kos penguatkuasaan pula tinggi. Kita jalankan ini dulu dan kalau ada keperluan di masa akan datang, di mana sistem itu lebih mantap, maka boleh kita kenalkan, tetapi bagi yang benar-benar tinggi ataupun kendaraan betul-betul mewah,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid meminta penjelasan daripada Perdana Menteri keputusan kerajaan pelaksanaan BUDI95 hanya kepada 85 peratus rakyat yang akhirnya diberikan kepada semua termasuk golongan T15.

Anwar berkata, langkah kerajaan dalam penyasaran petrol RON95 bersubsidi perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak membebankan rakyat.

“Penjimatan kita sekitar RM2.5 bilion. Ada mengatakan ini lebih rendah daripada disasarkan pada peringkat awal mengikut kajian Bank Dunia.

“Saya tidak setuju sebab kita lihat penyelesaian subsidi dari keseluruhan.

“Dari diesel, RM5 bilion kita selamatkan. Dalam sistem lama itu terlalu banyak penyeludupan dan kita risau. Dari elektrik, RM6 bilion, dari ayam, pengapungan RM1 bilion, dari telur RM1 bilion.

“Ini kerana dalam kes-kes seperti yang saya sebutkan tadi, ia tidak melibatkan 85 peratus tapi dalam kes itu lebih senang digunakan. Beza dengan penyasaran subsidi minyak petrol ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast