Menara Ilham, di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 05 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Syarikat Ilham Tower Sdn Bhd hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi untuk memulakan semakan kehakiman terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyita bangunan Menara Ilham, milik keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Hakim Datuk Amarjeet Singh membenarkan perintah penangguhan sementara (ad-interim stay) hingga 1 Disember ini.

Ini bagi menghalang SPRM melaksanakan sebarang pelucuthakan ke atas bangunan berkenaan sementara menunggu pendengaran penuh permohonan penangguhan secara inter partes pada tarikh sama.

Dalam keputusannya, hakim berkata, perintah sementara itu dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan hak pemohon sebelum semakan kehakiman didengar sepenuhnya.

Permohonan itu difailkan oleh Ilham Tower Sdn Bhd pada 23 Jun lalu melalui firma guaman Messrs Raj & Sach, dengan barisan peguam diketuai Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au.

Syarikat itu antara lain memohon perintah certiorari untuk membatalkan notis rampasan yang dikeluarkan SPRM pada 4 Jun lalu di bawah Seksyen 51(1) Akta SPRM 2009, serta perintah mandamus bagi mengarahkan notis itu dibatalkan sepenuhnya.

Turut disenaraikan sebagai responden ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; pegawai kanan agensi itu, Mohd Razi Rahhim @ Rahim dan Ahmad Akram; Pendakwa Raya; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Malaysia.

Dalam prosiding hari ini, SPRM diwakili oleh Peguam Persekutuan Kanan Nurhafizza Azizan.

Menara Ilham, yang terletak di Jalan Binjai dan dianggap antara mercu tanda korporat Kuala Lumpur, disenaraikan di bawah pemilikan Ilham Tower, antara pengarahnya ialah Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, balu kepada Daim.

SPRM sebelum ini memaklumkan bahawa rampasan terhadap bangunan itu dilakukan selepas mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya, susulan siasatan terhadap harta yang dipercayai diperoleh melalui hasil tidak sah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast