GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengesahkan menerima aduan berhubung pergaduhan yang berlaku di Kompleks Padang Dato Keramat pada Ahad lalu.
Menurut kenyataan MBPP, kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 8.30 malam itu melibatkan pembantu kepada pelesen yang menjalankan perniagaan di kompleks berkenaan.
Susulan insiden berkenaan, MBPP telah membuat laporan polis semalam dan berdasarkan maklumat diterima secara lisan, punca pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua pembantu tersebut.
“Notis representasi akan dikeluarkan kepada dua pelesen terbabit kerana pembantu mereka menimbulkan kacau ganggu terhadap pelesen lain dan pelanggan.
“Selain itu, tindakan mereka yang tidak memberi kerjasama dan toleransi turut menyebabkan pergaduhan serta menjejaskan perniagaan pelesen lain di kompleks berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah MBPP, pelesen terbabit diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan representasi bertulis berhubung perkara itu. – MalaysiaGazette















