KUALA LUMPUR – Hanya pihak berkuasa diiktiraf seperti JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dibenarkan mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan memberikan kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia.
Majlis Ekonomi Halal (MEH)mahu semua pihak bahawa sebarang penggunaan logo, simbol, istilah, label atau pengiktirafan halal atau yang menyerupainya oleh organisasi selain daripada pihak berkuasa yang diiktiraf adalah tidak sah, menyalahi peraturan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, serta boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara.
Setiausaha Agung MEH, Dr Helmi Ibrahim berkata, tindakan sebuah pertubuhan yang memperkenalkan pengiktirafan Muslim Choice bagi premis atau produk tertentu boleh mengelirukan pengguna muslim kerana ia tidak disahkan oleh JAKIM atau MAIN/JAIN.
“MEH menyokong usaha JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri untuk memastikan standard halal Malaysia dipelihara dan dipatuhi sepenuhnya.
“MEH menasihati pengusaha, peniaga dan masyarakat supaya mengutamakan pengiktirafan halal daripada pihak berkuasa rasmi sahaja, bagi memastikan produk dan premis adalah bersih, selamat dan selari dengan prinsip Islam,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
MFW tampil mohon maaf, henti serta-merta sistem Muslim Choice















