Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian netizen apabila membingkiskan kata-kata romantis buat isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menerusi hantaran ringkas di laman sosial Facebook beliau hari ini, Anwar mencoretkan: “Di setiap langkah, ada tangan yang sentiasa memastikan saya tidak sendirian.”

Hantaran itu diakhiri dengan ungkapan Love, Azizah yang disertakan dengan emoji Hati Merah sebagai simbolik kepada tanda cinta serta tanda pagar #Tulangrusuk.

Hantaran itu yang sedikit luar daripada kebiasaan memandangkan Anwar sering memuat naik perkongsian yang lebih serius di laman sosial Facebook beliau menarik perhatian netizen yang turut memberikan reaksi `manis’ di ruangan komen.

Antaranya oleh pemilik akaun Shah Hussein yang menulis: “Setiap lelaki ada wanita yang dokong. Every man there is a woman who escort him to the top. Terima kaseh DSWA selalu damping PMX.

Seorang lagi pemilik akaun Ng Hian Chan pula menulis: “#tulangbelakang, without our great first lady that hold the fort while he is in the political wilderness, we will not have our PMX today. I truly respect her.

Majoriti pengikut laman sosial Facebook turut mendoakan supaya beliau diberi kesembuhan dan dapat terus mengemudi negara ke arah masa depan yang lebih baik.

Lebih manis, hantaran di laman sosial Facebook Anwar itu turut diulang hantar (repost) oleh Wan Azizah di laman sosial Facebook beliau, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan mengalami sakit belakang sehingga menyukarkan pergerakannya dan dinasihatkan oleh pakar perubatan beliau supaya berehat.

Bagaimanapun, bercakap kepada pemberita, Wan Azizah berkata, keadaan kesihatan Anwar dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas menjalani pemeriksaan doktor dan hanya memerlukan rehat secukupnya selepas melalui jadual tugas rasmi yang padat sejak kebelakangan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast