KUALA LUMPUR – Kemajuan sesebuah negara tidak akan bermakna jika rakyatnya hilang nilai kemanusiaan serta keprihatinan terhadap sesama manusia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam usaha membangunkan negara Madani, kemajuan teknologi dan peningkatan kemahiran perlu disertai dengan nilai manusiawi yang tinggi agar pembangunan tidak bersifat kosong tanpa roh kemanusiaan.
“Kalau saudara dan anak-anak faham tentang konsep negara Madani, dia tentunya kepintaran, kemahiran dan teknologi baharu.
“Tetapi sesuatu yang sangat kita tekankan ialah nilai manusiawi, kemanusiaan dalam Islam disebut karamah insania. Itu ehsan yang perlu ada, apalagi dalam dunia perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Anwar berkata, kerajaan memberi penekanan kepada dua sektor utama iaitu pendidikan dan kesihatan yang menjadi asas kesejahteraan rakyat serta mencerminkan nilai keprihatinan dan empati dalam pentadbiran negara.
“Bayangkan universiti kolej ini menggabungkan pendidikan dan kesihatan yang menjadi tumpuan kita dalam agenda perubahan dan pembangunan negara. Negara ini harus lebih prihatin, empati dan ada ehsan kepada rakyat,” ujarnya.

Menurut beliau, tanggungjawab membina masyarakat berilmu dan berakhlak tidak hanya terletak pada kerajaan semata-mata, sebaliknya turut perlu dipikul oleh institusi pendidikan dan masyarakat secara menyeluruh.
“Anak dari keluarga miskin, dari PPR, estate atau kampung pedalaman yang mencatat keputusan baik mesti dibantu sepenuhnya. IJN juga perlu mengambil tanggungjawab ini sebagai tanggungjawab moral yang penting,” katanya.
Anwar mengingatkan bahawa kejayaan sesebuah institusi tidak seharusnya diukur melalui keuntungan semata-mata, sebaliknya menerusi sumbangannya terhadap kesejahteraan rakyat.
“Benar, keuntungan perlu, tetapi lihat juga nasib pekerja paling bawah tukang cuci, juruteknik dan jururawat. Tanpa mereka, kejayaan IJN tidak mungkin tercapai,” katanya.
Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu memiliki sifat prihatin, empati dan ihsan terhadap rakyat khususnya golongan miskin, bagi memastikan setiap warganegara tidak tersisih dalam aspek pendidikan, kesihatan dan sosial.
“Janganlah kita kesampingkan atau meremehkan keperluan rakyat dari pelbagai kalangan. Negara ini tidak mungkin menerima kenyataan pembangunan tapi dalam masa sama menyisihkan sebahagian rakyat sama ada kaum, pedalaman atau yang miskin.
“Ini tanggungjawab kita. Ia tidak mudah kerana kadang-kadang orang lebih senang bicara soal daerah dan wilayah, kaum dan kedudukan. Tapi kita mesti ingat, membangunkan negara ini bermakna membangunkan semua rakyat. Jangan mengizinkan mana-mana rakyat merasa tersisih,” katanya. — MalaysiaGazette
















