kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan segera garis panduan integriti calon pilihan raya menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, ia supaya rakyat dapat memahami dengan jelas standard minimum integriti seseorang calon pilihan raya yang boleh diterima.

Menurutnya, SPR perlu menjelaskan prosedur semakan latar belakang dengan konsisten ke atas semua calon, bukan hanya kepada calon baharu serta mewajibkan deklarasi integriti ringkas ke atas calon termasuk status kes jenayah, rasuah dan kes parti.

Terdahulu, kata beliau, pihaknya memandang serius dakwaan serta persoalan umum tentang bagaimana individu yang sedang berdepan pertuduhan mahkamah, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau rekod salah laku lain masih boleh berada dalam radar pencalonan untuk bertanding PRN-17 Sabah.

“MCW ingin mengingatkan seluruh pemain politik dan institusi pilihan raya bahawa integriti calon ialah asas kepada demokrasi yang bersih.

“Rakyat Sabah berhak mengetahui bahawa calon yang ingin menjadi pembuat dasar negeri adalah insan yang benar-benar bebas daripada rekod integriti yang meragukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Jais, pihaknya tidak bermaksud untuk menuduh mana-mana pihak, namun menuntut ketelusan, konsistensi dan standard yang jelas berkenaan soal integriti calon pilihan raya umum daripada SPR.

Jelasnya, adalah penting untuk diingatkan integriti bukan sekadar `boleh bertanding atau tidak mengikut teknikal undang-undang’, sebaliknya ia melibatkan persoalan nilai, akauntabiliti, kejujuran serta ketaatan kepada prinsip pemerintahan yang bersih.

Tegas beliau, pihaknya percaya reformasi politik bukan hanya pada `siapa menjadi kerajaan’, tetapi siapa yang dibenarkan untuk menjadi calon pilihan raya umum.

“Jika PRN Sabah kali ini benar-benar hendak menjadi contoh Malaysia Baharu yang bebas rasuah, maka langkah membina kepercayaan rakyat harus bermula di hari penamaan calon, bukan selepas rakyat sudah mengundi,” katanya.

Tambah beliau, MCW akan terus menilai dan memantau proses PRN-17 Sabah sebagai suara rakyat yang mahu melihat demokrasi Malaysia dinaikkan martabatnya melalui integriti.

“Malaysia Bebas Rasuah bukan hanya slogan, ia bermula dengan calon pilihan raya yang bersih,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast