Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak hadir bagi hujahan saman kes SRC International Sdn Bhd terhadapnya, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan pihak pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah gagal membuktikan kes terhadap bekas Perdana Menteri itu dan bergantung kepada keterangan yang tidak boleh diterima di sisi undang-undang.

Dalam hujah akhir di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Muhamad Shafee berkata, keseluruhan kes pendakwaan bersandarkan keterangan dengar cakap berganda (double hearsay) yang tidak termasuk dalam mana-mana pengecualian undang-undang dan sewajarnya diketepikan sepenuhnya.

“Pendakwaan dalam kes ini telah memotong kedua-dua kakinya sendiri. Mereka kini tidak ada kaki untuk berdiri. Semua keterangan yang digunakan terhadap anak guam saya hanyalah dengar cakap berlapis tanpa jaminan kebenaran,” katanya di sini hari ini.

Menurut Muhamad Shafee, berdasarkan prinsip undang-undang dan keputusan-keputusan kehakiman luar negara, kenyataan yang dibuat selepas sesuatu kejadian dan disampaikan melalui perantara tidak boleh diterima sebagai bukti yang sah.

“Tiada satu pun kenyataan dalam kes ini dibuat secara spontan. Semua dibuat kemudian dan melalui pihak ketiga. Ia bukan res gestae tetapi naratif yang direka untuk mencipta persepsi bersalah,” katanya.

Muhamad Shafee turut menegaskan wujud pendakwaan terpilih (selective prosecution) apabila individu lain dalam kes berskala kecil dikesan dan didakwa segera.

Manakala tokoh-tokoh utama yang didakwa terlibat dalam penyelewengan sebenar 1MDB tidak disentuh langsung.

“Ini fakta notori terpampang di muka depan media. Ada individu yang dikesan di luar negara dan segera disiasat tetapi Jho Low yang menyeleweng berbilion ringgit tidak lagi tersenarai dalam Interpol,” ujarnya.

Beliau menambah, beberapa individu asing dan bekas pengarah 1MDB yang turut menerima dana besar tidak pernah didakwa, malah tindakan sivil terhadap mereka ditarik balik.

Hujahnya itu juga seolah-olah memberi laluan supaya mereka berpaling tadah menjadi saksi pendakwaan terhadap Najib.

Selain isu keterangan, Muhamad Shafee turut menegaskan, hubungan diplomatik Malaysia–Arab Saudi pada ketika itu membuktikan dana RM2.6 bilion yang diterima Najib adalah sumbangan sah daripada keluarga diraja Arab Saudi.

“Jika derma itu tidak benar, adakah Raja Salman akan datang secara rasmi ke Malaysia dan menjemput Najib menunaikan umrah bersamanya? Ini bukan naratif politik, ini fakta diplomatik,” katanya.

Menurutnya, Najib tidak pernah terlibat dalam pengurusan harian 1MDB dan hanya menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri serta Menteri Kewangan berdasarkan laporan rasmi yang dikemukakan kepadanya.

“Beliau tidak menandatangani cek, tidak urus akaun. Kesilapan berlaku di peringkat pengurusan, bukan pada beliau,” tegasnya.

Hari ini turut menandakan penutupan hujahan akhir pembelaan selepas 10 hari prosiding bermula 21 Oktober lalu.

Minggu lalu, hakim menetapkan 4 November (hari ini) bagi pembelaan menutup hujah selepas pendakwaan selesai pada 29 Oktober.

Hujahan pembelaan diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersama Tania Scivetti dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, manakala pendakwaan diketuai oleh Datuk Ahmad Akram Gharib, Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan T. Deepa Nair.

Sebelum ini, pada 6 Mei lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil 26 saksi sepanjang 58 hari perbicaraan.

Secara keseluruhan, perbicaraan berprofil tinggi ini telah berjalan selama 293 hari, dengan 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan memberi keterangan.

Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan didakwa pada 20 September 2018, dengan perbicaraan bermula 28 Ogos 2019, membabitkan empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Antara saksi utama yang dipanggil ialah Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Jasmine Loo Ai Swan, Tengku Datuk Rahimah Putri Almarhum Sultan Mahmud dan Roger Ng Chong Hwa dari Goldman Sachs. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast