Prof Emeritus Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir

KUALA LUMPUR – Universiti UCSI mencatatkan satu lagi kejayaan membanggakan apabila berjaya menempatkan diri dalam 30 universiti terbaik Asia dalam QS World University Rankings: Asia 2026.

Mendaki 15 anak tangga berbanding tahun lalu, UCSI kini berada di kedudukan kelapan di Asia Tenggara.

Pencapaian itu menandakan sembilan tahun berturut-turut UCSI memperbaiki kedudukan di peringkat benua.

Presiden dan Naib Canselor UCSI, Prof Emeritus Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil dedikasi dan kerja keras seluruh warga universiti selama bertahun-tahun.

“Pencapaian dalam penarafan ini amat menggalakkan namun kita tidak boleh lupa asas yang telah kita bina — pembentukan budaya penyelidikan yang kukuh, pengukuhan jaringan antarabangsa dan Kerjasama rapat dengan industry.

“Dengan memberi tumpuan kepada aspek-aspek teras ini, UCSI telah mendaki lebih daripada 320 tangga dalam tempoh sembilan tahun. Kami amat berbangga dengan pencapaian ini dan akan terus memperkukuh keupayaan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), pembelajaran mesin (machine learning), data raya (big data) dan automasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelajar, alumni, kakitangan serta rakan industri yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan ini.

UCSI akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan dalam bidang kebolehpasaran graduan, penyelidikan, reputasi akademik dan kepuasan majikan.

Universiti juga komited untuk memberi impak positif kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif mampan yang dijalankan oleh dua Regional Centres of Expertise yang diiktiraf oleh United Nations University.

UCSI telah melahirkan empat penerima anugerah Forbes 30 Under 30 Asia dan semakin ramai alumninya kini mengusahakan perusahaan sosial sendiri.

Universiti itu turut memberi peluang pendidikan kepada
pelajar dari lebih 120 negara.

Antara alumni terkenal termasuk Aina Abdul, penyanyi sensasi tanah air, dan Cynthia Ng, penyampai berita tersohor.

Selain itu, dua atlet Olimpik negara — Khiew Hoe Yean, perenang lelaki terbaik Malaysia, dan Bertrand Rhodict Lises, penerjun lelaki utama negara — kini sedang melanjutkan pengajian di UCSI.

Dengan kedudukan ke-269 dunia, UCSI kini tergolong dalam 1% universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast