SUBANG – Misi Batalion Malaysia ke-13 (MALBAT 850-13) di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan mencatatkan satu lagi sejarah penting buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Angkatan Tentera Diraja Brunei (ATDB).
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, penglibatan Malaysia di Lubnan sejak tahun 2007 membuktikan komitmen berterusan negara dalam usaha mengekalkan keamanan sejagat.
“Ini adalah satu penugasan yang bersejarah. Selain membawa pulang sebahagian kelengkapan, kita juga akan meneruskan latihan kepada tentera Lubnan sepanjang tempoh mereka di sana.
“Beberapa peralatan turut akan ditinggalkan untuk kegunaan mereka,” katanya yang pernah memegang jawatan Komander MALBAT kedua sebelum ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret PBB, penyerahan bendera Malaysia dan penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-13 di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Mohd Nizam menjelaskan, proses membawa pulang aset-aset ketenteraan dari Lubnan akan bermula secara berperingkat pertengahan tahun ini dan dijangka selesai sepenuhnya dengan selamat.
“Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar. Kita kekal positif dan optimis bahawa perancangan ini akan mengikut jadual yang ditetapkan,” tambahnya.
Menurutnya lagi, setelah 13 siri penugasan, kini tiba masanya tanggungjawab mempertahankan keselamatan Lubnan diserahkan sepenuhnya kepada pasukan negara itu sendiri.
Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza selaras dengan komitmen kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Malaysia sentiasa komited. Datuk Seri PMX (Anwar) sendiri telah mengumumkan kesediaan untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza.
“Insya-Allah dalam sebulan dua ini kita akan lihat perkembangan dan menjelang hujung tahun kita akan mendapat kata putus sama ada ia di bawah mandat PBB atau sebaliknya,” ujarnya.
ATM juga katanya, sedang meneliti beberapa pilihan bentuk penugasan sama ada pasukan mekanisme sepenuhnya atau gabungan logistik dan perubatan bergantung kepada mandat yang akan diterima kelak.
Beliau menegaskan, ATM akan terus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan demi memastikan peranan Malaysia dalam misi keamanan dunia terus kukuh dan dihormati. – MalaysiaGazette
















