MELAKA – Seorang guru silat lelaki direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini kerana disyaki mencabul seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Taman Telok Mas, di sini, bulan lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani bermula hari ini sehingga 11 November.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menurut sumber, kejadian bermula pada 7 Oktober lalu apabila suspek mengambil mangsa di rumah keluarganya di Pulau Sebang, Alor Gajah kira-kira jam 7 malam kononnya untuk membawanya latihan di gelanggang silat di Pulau Sebang.
“Mangsa yang juga pengadu keluar mengikuti suspek sebelum di bawa ke rumahnya di Taman Telok Mas kononnya untuk belajar tinju sebagai persediaan menyertai pertandingan ujibakat Sukan Malaysia (Sukma) di Johor Bahru.
“Setibanya di rumah suspek pada jam 11 malam, pengadu tidak belajar tinju dengan alasan sudah lewat dan suspek menyuruh anak muridnya itu tidur di bilik utama kerana hanya mereka berdua berada di rumah,” katanya.
Sumber berkata, tidak lama selepas itu, suspek masuk ke dalam bilik dan baring di sebelah pengadu sehinggalah keesokan harinya.
“Pada kira-kira jam 8 pagi, suspek tiba-tiba memeluk, mencium memegang kemaluan dan payudara pengadu selain turut memasukkan tangannya ke dalam baju dan seluar mangsa.
“Mangsa yang ketakutan hanya mendiamkan kerana takut diapa-apakan dan suspek juga meminta remaja itu supaya merahsiakan kejadian itu daripada pengetahuan keluarganya,” katanya.
Bagaimanapun sumber berkata, pengadu yang berasa tertekan kemudian menceritakan perbuatan suspek kepada bapanya semalam.
“Bapa mangsa kemudian membawa anak sulungnya itu membuat laporan polis di Balai Polis Kandang, semalam sebelum suspek berjaya ditangkap malam tadi.
“Mangsa turut dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
















