BALIK PULAU – Prosiding sebutan kes guru yang didakwa cuba membunuh isterinya ditangguhkan lagi selepas Mahkamah Sesyen di sini dimaklumkan tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, masih dirawat dan diperhati di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak.
Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menetapkan 4 Disember depan sebagai sebutan semula kes bagi kehadiran tertuduh serta penyerahan laporan psikiatri, selepas mahkamah diberitahu tertuduh masih menerima rawatan hospital berkenaan.
Sementara itu, peguam bela, Yazid Khairul Azman, memaklumkan anak guamnya tidak dibawa ke mahkamah hari ini kerana masih ditempatkan di hospital.
“Kami dimaklumkan secara rasmi oleh pihak hospital bahawa anak guam saya perlu berada di Hospital Bahagia untuk rawatan dan pemerhatian.
“Tarikh pelepasan serta laporan penuh masih belum dapat ditentukan kerana ia bergantung sepenuhnya kepada pihak hospital memberikan perkembangan lanjut kepada mahkamah,” katanya kepada pemberita hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Laporan psikiatri belum tersedia, guru kelar isteri masih di Hospital Bahagia
Guru cuba bunuh isteri dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta
Pada 8 Oktober lalu, prosiding kes berkenaan ditangguhkan atas alasan sama selepas mahkamah dimaklumkan laporan psikiatri tertuduh masih belum diperoleh daripada pihak hospital.
Media pada 4 September lalu melaporkan, guru yang didakwa atas cubaan membunuh isterinya menggunakan sebilah pisau pada Ogos lepas, diperintahkan dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani pemeriksaan mental oleh Mahkamah Sesyen Balik Pulau.
Perintah itu dibuat Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin selepas tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, memaklumkan dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu ketika prosiding berlangsung.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan cubaan membunuh isterinya, Hanis Sofea Hamdan, 28, dengan menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira jam 5.45 pagi, pada 27 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.
Media turut melaporkan hutang pinjaman bank dan ansuran e-dagang dipercayai punca pergaduhan sehingga guru tersebut bertindak mengelar isterinya. – MalaysiaGazette















