Yazid Khairul ketika ditemui pemberita di pekarangan luar Mahkamah Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, dimaklumkan guru yang cuba membunuh isterinya, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, masih ditempatkan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak bagi tujuan pemerhatian kesihatan mental.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani, semasa prosiding sebutan kes dan penyerahan laporan psikiatri di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Menurut Lushani, laporan penuh berkaitan tahap kesihatan mental tertuduh masih belum diperoleh daripada pihak hospital.

“Setakat ini, kami dimaklumkan laporan psikiatri masih belum sedia. Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh lain bagi sebutan semula serta kehadiran orang kena tuduh (OKT),” katanya.

Dalam prosiding sama, peguam bela tertuduh, Yazid Khairul Azman, mengesahkan anak guamnya tidak dibawa ke mahkamah kerana masih menjalani rawatan di hospital berkenaan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 5 November depan untuk sebutan semula kes, penyerahan laporan psikiatri serta kehadiran OKT.

Sementara itu, di luar pekarangan mahkamah, peguam Yazid Khairul memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima panggilan daripada pihak hospital, selain mahkamah turut menerima surat rasmi bagi menangguhkan prosiding hari ini.

“Kita akan tunggu maklumat lanjut daripada pihak hospital kerana terdapat dua kemungkinan yang mana kadangkala laporan perubatan disiapkan dengan cepat, namun ada juga yang mengambil masa sebulan dua.

“Sekiranya laporan masih belum siap, mahkamah akan menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes, termasuk perintah kehadiran tertuduh OKT.

“Jika tertuduh masih menerima rawatan, dia tidak perlu hadir ke mahkamah. Namun begitu, segala tindakan bergantung kepada maklumat lanjut yang akan kita terima daripada hospital,” katanya.

Ketika ditanya sama ada pihak peguam telah menemui tertuduh di hospital, Yazid Khairul menjelaskan anak guamnya kini ditempatkan di Wad Forensik Akut dan sebarang pertemuan memerlukan kebenaran daripada pakar perubatan.

“Setakat ini, kami hanya sempat bertemu anak guam sekali sahaja. Dalam pertemuan itu, hanya beberapa soalan diajukan dan respons yang diberikan juga sangat terhad,” katanya.

 

Guru cuba bunuh isteri dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta

 

Media pada 4 September lalu melaporkan, guru yang didakwa atas cubaan membunuh isterinya menggunakan sebilah pisau pada Ogos lepas, diperintahkan dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani pemeriksaan mental oleh Mahkamah Sesyen Balik Pulau.

Perintah itu dibuat Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin selepas tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi,30, memaklumkan dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu ketika prosiding berlangsung.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan cubaan membunuh isterinya, Hanis Sofea Hamdan, 28, dengan menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira jam 5.45 pagi, pada 27 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.

Media turut melaporkan hutang pinjaman bank dan ansuran e-dagang dipercayai punca pergaduhan sehingga guru tersebut bertindak mengelar isterinya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal pihak polis mendapati suspek berusia 30 tahun yang juga seorang guru itu membuat pinjaman bank untuk pelaburan saham selain pembayaran ansuran barangan yang dibeli melalui platform e-dagang.

“Setakat ini hasil siasatan mendapati punca pergaduhan pasangan itu disebab hutang namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Dakwaan suspek mempunyai hutang dengan ahlong itu tidak benar sebaliknya, dia membuat pinjaman dengan institusi kewangan yang sah,” kata Sazalee,” katanya.

Dalam kejadian pada 27 Ogos lalu, seorang guru wanita nyaris maut akibat dikelar suaminya yang juga seorang guru dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Tunas Muda di sini.

Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum mendapati menantunya sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya. – MalaysiaGazette

Guru cuba bunuh isteri sebelum kelar diri sendiri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast