PATTANI – Bermula dengan minat menjahit pada usia muda akhirnya wanita Melayu Pattani, Masitoh Uma kini memiliki kilang pembuatan kopiah terbesar di wilayah tersebut.
Malah kilangnya yang bertahan selama 15 tahun sehingga kini membekalkan kopiah di serata dunia antaranya Mekah, Brunei, Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Masitoh, 49 ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, membuka kilang di Kampung Kemi Yo itu bukan hanya sekadar perniagaan untuk dirinya, namun dalam masa yang sama dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.
“Suka buat kopiah sebab orang Muslim, saudara kita kan boleh pakai solat jadi dari situ dapatlah keberkatan, dapatlah kita keberkatan.
“Selain itu kopiah ini laku untuk dijual di mana-mana terutama di Malaysia,” katanya, di sini.
Mengejutnya, harga kopiah yang dijualnya secara borong ternyata murah iaitu RM100 untuk seguni yang mempunyai 20 helai kopiah.
Ia bersamaan dengan RM5 sehelai.
Tambahnya, setiap minggu lebih 2,000 kopiah perlu disiapkan untuk memenuhi tempahan daripada peniaga-peniaga di serata negara.

“Walaupun kami jual murah, tapi kualiti tetap kami jaga, ada tujuh lapisan jahitan setiap kopiah yang kami hasilkan.
“Ada juga syarikat yang menempah untuk logo mengikut kehendak masing-masing,” katanya lagi.
Terdahulu, ibu tiga anak itu berkata perniagannya menjadi antara sumber pendapatan penduduk sekitar terutamanya dalam kalangan wanita.
“Kilang saya di sini mempunyai sekitar 80 pekerja, 50 adalah wanita selebihnya lelaki,” tambah beliau.
Ujarnya, kilangnya sentiasa mendapat tempahan memberangsangkan dari Mekah, Malaysia dan Indonesia.

Masitoh berkata, penghantaran kopiah kepada pengedar dilakukan menerusi pos hampir setiap bulan kepada pelbagai negara.
Mengaku perniagaannya semakin bercambah, beliau yakin kilangnya akan terus bertahan kerana kepercayaan daripada pengedar dan kualiti yang sentiasa menjadi keutamaannya.
“Saya sentiasa berharap perniagaan saya ini akan dapat terus berkembang di sini, jadi dapat edar ke merata negara,” katanya lagi.
Kampung Kemi Yoh iterletak di wilayah Pattani, selatan Thailand mempunyai majoriti penduduk Melayu Patani yang beragama Islam. – MalaysiaGazette
















