Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan, Sekolah Rendah Islam Al-Afsari di Saujana Putra, Jenjarom, Selangor beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan belum berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, status tidak berdaftar itu menyebabkan sekolah berkenaan tidak memenuhi kriteria pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Selangor seperti diperuntukkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988.

Katanya, perkara itu menjadi punca seramai 80 murid sekolah tersebut tidak dapat menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Tahun 2025.

“Jakim menerima surat rayuan daripada pihak sekolah pada 15 Oktober lalu bagi memohon pertimbangan agar murid berkenaan dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut.

“Namun semakan mendapati mereka tidak didaftarkan sebagai calon rasmi melalui Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Jakim menjalankan semakan silang dan mengadakan perbincangan bersama JAIS yang kemudiannya mengesahkan status sekolah terbabit.

Menurut Sirajuddin, dalam pertemuan rasmi dengan pihak sekolah pada 3 November lalu, Jakim telah menjelaskan bahawa peperiksaan UPKK dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan peringkat kebangsaan yang ditetapkan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1942 bagi menjamin integriti peperiksaan.

Peperiksaan bertulis UPKK dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 November 2025, manakala Ujian Amali Solat, Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) serta ujian lisan al-Quran (UPKK01) telah selesai dijalankan antara April hingga Oktober lalu.

Sehubungan itu, Jakim menasihati pihak sekolah supaya segera mendapatkan tiga sokongan agensi berkaitan seperti digariskan dalam Garis Panduan Pengurusan Am (Pendaftaran dan Penubuhan) bagi tujuan pendaftaran rasmi.

Dalam masa sama, Jakim turut menyeru ibu bapa agar lebih peka dan proaktif memastikan sekolah tempat anak-anak mereka belajar berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri bagi menjamin kualiti pendidikan serta pengiktirafan sah terhadap sijil peperiksaan.

“Jakim akan terus komited memperkukuh kerjasama dengan semua agensi agama negeri bagi memastikan setiap anak-anak Islam di negara ini mendapat pendidikan agama yang berkualiti, tersusun dan diiktiraf, selaras dengan aspirasi Pendidikan Islam Madani,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast