Steven Sim pakaikan jersi Real Madrid kepada anak Allahyarham Megat Fazrul.

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Steven Sim Chee Keong, menzahirkan rasa sedih atas pemergian Naib Presiden TalentCorp, Allahyarham Megat Fazrul Azlin yang meninggal dunia baru-baru ini.

Beliau menerima berita duka itu pada pagi 24 Oktober lalu ketika sedang bersiap untuk menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Pada mulanya, saya tidak dapat mengecam siapa Megat (Fazrul) ini tetapi bila saya lihat gambar, baru saya sedar bahawa beliau tidak jauh beza usia dengan saya.

“Pemergiannya amat menyentuh hati kerana arwah meninggalkan keluarga yang masih muda,” tulisnya beremosi dalam Facebook beliau hari ini.

Menurut Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Megat Fazrul merupakan antara pegawai kanan yang banyak menyumbang kepada pembangunan bakat negara sejak menyertai TalentCorp pada April 2012.

“Sebagai naib presiden yang menjaga graduan dan bakat baharu, arwah terlibat dalam Kajian Impak MyMAHIR yang meneliti kesan terhadap pasaran kerja akibat kecerdasan buatan, ekonomi hijau dan pendigitalan,” ujarnya lagi.

Katanya, antara legasi penting Megat Fazrul adalah usaha menghubungkan dunia akademik dengan keperluan industri melalui integrasi sistem MyMAHIR (TalentCorp) dengan eMAS (MQA).

“Usaha itu menyelamatkan jutaan ringgit pinjaman PTPTN dan PTPK bakal graduan kita agar mereka tidak terbeban dengan mengambil jurusan yang tidak diperlukan pasaran kerja.

“Sebagai tanda penghargaan, TalentCorp menghadiahkan caruman SSPN bernilai RM10,000 untuk anak tunggal allahyarham, Megat Farique Rizqy manakala saya menambah lagi RM10,000 bagi tujuan sama,” katanya.

Tambahnya, melalui caruman PERKESO, keluarga allahyarham juga bakal menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM3,000 serta Faedah Pencen Penakat berjumlah RM3,353.17 sebulan.

Steven turut berkongsi kisah menyentuh hati mengenai janji terakhir allahyarham kepada anaknya.

“Ketika dirawat di hospital, arwah sempat berjanji untuk membelikan kasut bola baharu untuk anaknya tetapi tidak sempat menunaikannya.

“Saya telah menunaikan janji itu bagi pihak beliau dan menghadiahkan juga jersi pasukan kegemaran anaknya, Real Madrid,” katanya.

Beliau berharap anak allahyarham akan membesar dengan rasa bangga terhadap jasa dan legasi bapanya di TalentCorp.

“Arwah Megat (Fazrul) banyak berjasa dalam mengangkat martabat ribuan graduan dan pekerja muda Malaysia. Semoga anaknya Megat Farique tahu bahawa ayahnya seorang wira yang meninggalkan legasi bermakna untuk negara,” katanya.

Steven turut merakamkan ucapan takziah kepada balu allahyarham, Nurul Farah serta keluarga atas kehilangan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast