PUTRAJAYA – Umat Islam perlu bangkit memperkukuh gerakan ilmu dan penyelidikan berasaskan al-Quran serta hadis secara lebih agresif bagi meningkatkan martabat dan kualiti ummah.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, umat Islam tidak boleh terus berpeluk tubuh mematikan akal budi sebaliknya perlu memartabatkan ilmu pengetahuan dan nilai berteraskan kajian al-Quran dan hadis perlu dibuat dengan penuh agresif bagi mengangkat kualiti ummah.
Beliau berkata demikian dalam ucapan mewakili Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar ketika merasmikan Konvensyen Penyelidikan Islam Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sini hari ini.
Konvensyen anjuran JAKIM itu menjadi platform utama menghimpunkan para penyelidik dan ahli akademik dari seluruh negara bagi berkongsi hasil penyelidikan dan membincangkan isu-isu kontemporari dari perspektif syarak dan sains moden.
Antara pengisian utama konvensyen ialah pembentangan hasil penyelidikan semasa daripada pelbagai institusi termasuk kajian The Ahmadi Religion of Peace and Light oleh Dr. Yusri Mohamad Ramli, pembekuan sel sperma dan ovum individu belum berkahwin atas sebab perubatan menurut perspektif Islam oleh Sulaiman Fitri Ramli dan hukum tuntutan hutang tunggakan cukai pendapatan si mati kepada ahli waris oleh Dr. Mohamad Naqib Hamdan dan Dr. Nasiibah Ramli dari Universiti Teknologi Malaysia.
Selain itu kajian awal hukum memakan daging kultur (cultured meat) menurut perspektif Islam dan sains pula dibentangkan oleh Prof. Dr. Sahilah Abd. Mutalib.
Dalam ucapannya, Sirajuddin juga menekankan konvensyen itu bukan sekadar acara rutin atau formaliti tahunan tetapi sesuatu yang mempunyai matlamat dan perancangan strategik.
“Konvensyen ini bukanlah sekadar acara tahunan tetapi adalah pelan tindakan terancang yang mencapai objektif strategik iaitu meningkatkan profesionalisme dan pengetahuan melalui perkongsian hasil penyelidikan selain mewujudkan rangkaian kerjasama strategik dalam penyelidikan dan pembangunan dengan pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya.
Konvensyen yang berlangsung itu turut menampilkan empat kertas kerja yang menyentuh pelbagai bidang termasuk akidah, ibadah, muamalat, kekeluargaan, sains dan perubatan, halal dan ekonomi Islam.
Turut hadir pada majlis perasmian ialah kementerian dan agensi kerajaan, Jabatan Mufti Negeri, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), ahli akademik, serta penyelidik daripada universiti awam dan swasta.
Konvensyen itu meneruskan penganjuran sulung tahun 2022 sebagai platform memperkukuh budaya penyelidikan Islam di Malaysia serta mempererat kerjasama antara institusi penyelidikan dan agensi agama selaras dengan usaha memperkasakan agenda Maqasid Syariah nasional. – MalaysiaGazette
















