KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengukuhkan kedudukannya di tangga ke-160 Asia, meningkat berbanding kedudukan ke-195 tahun lalu menerusi QS Asia University Rankings (QS AUR) 2026 yang diumumkan hari ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, berkata kejayaan itu sejajar dengan strategi pengantarabangsaan yang dirangka di dalam Pelan Strategik UMT 2023–2027 (PSUMT5) yang menekankan pembangunan berterusan dalam bidang tujahan universiti, khususnya ilmu kelautan dan sumber akuatik.

“Kedudukan UMT dalam kelompok 160 universiti terbaik di Asia menunjukkan hala tuju strategik universiti sedang membuahkan hasil sekaligus menegaskan bahawa UMT berada di landasan tepat untuk terus berkembang sebagai universiti berfokus marin yang terkemuka di Malaysia dan disegani di peringkat global,” katanya.

Peningkatan itu turut mencerminkan prestasi cemerlang UMT dalam beberapa indikator utama penarafan, termasuk pengantarabangsaan dan kualiti akademik.

Dalam dimensi pengantarabangsaan, UMT memperoleh skor hampir sempurna bagi mobiliti pelajar inbound (99.0) dan mobiliti pelajar outbound (96.9), menjadikan universiti ini antara yang paling aktif di Asia dalam program pertukaran pelajar antarabangsa.

Skor bagi indikator nisbah pelajar antarabangsa juga meningkat kepada 62.5 peratus, menunjukkan daya tarikan UMT sebagai destinasi pendidikan pilihan pelajar antarabangsa dari pelbagai negara.

Dari segi akademik dan penyelidikan, UMT menyerlah dengan 89 peratus pensyarah memiliki kelulusan doktor falsafah (PhD), selari dengan skor 95 bagi indikator staf berkelulusan PhD. Skor 64.7 bagi bilangan penerbitan per pensyarah mencerminkan budaya penyelidikan yang matang dan produktif dalam kalangan warga akademik.

Pencapaian itu membuktikan bahawa UMT bukan sahaja unggul dalam bidang sains marin dan sumber akuatik tetapi juga semakin diiktiraf sebagai institusi yang menyumbang secara signifikan kepada kemajuan ilmu pengetahuan di Asia. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast