KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mencadangkan penubuhan pasukan petugas khas krisis tarif bagi melindungi usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan susulan perjanjian timbal balik perdagangan (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS).
Guan Eng (PH-Bagan) berkata, terdapat tujuh terma yang boleh dijadikan rujukan dalam penubuhan pasukan itu antaranya memastikan PMKS mendapat pesanan dan peluang perniagaan termasuk mewajibkan pembelian barangan tempatan oleh pelabur dan kontraktor domestik dan asing.
Selain itu, tambahnya, ia akan memastikan negara tidak dihantui oleh lambakan barangan negara asing yang akan menutup pasaran barangan PMKS.
Dalam masa sama, jelasnya, adalah mengawal kenaikan kos dengan mengurangkan risiko dan impak pendedahan cukai atau peraturan dasar baharu serta mengatasi kekurangan pekerja atau kesukaran diluluskan pekerja asing.
“Terma lain adalah angkah fiskal seperti menggariskan pemberian bantuan kewangan dan subsidi kepada sektor kritikal, serta menerokai pasaran asing yang baharu,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Guan Eng yang juga Penasihat DAP, kira-kira 40 peratus eksport negara terjejas dengan tarif timbal balik AS sebanyak 19 peratus memandangkan negara itu adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia.
Jelasnya, banyak syarikat tempatan terkesan secara langsung dengan volum perniagaan yang kurang kerana tidak dapat memasuki pasaran AS dan terpaksa mencari pasaran lain.
“Syarikat (PMKS) boleh terkesan secara tidak langsung apabila negara ketiga yang tidak dapat memasuki pasaran AS mengamalkan lambakan barangan mereka ke negara kita dengan harga rendah, sekali gus menghancurkan pasaran tempatan perniagaan kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















