GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa masyarakat supaya lebih berwaspada terhadap bahaya tersembunyi penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas dalam kehidupan seharian.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, walaupun AI membawa pelbagai manfaat daripada segi kemajuan teknologi dan kecekapan, pergantungan berlebihan terhadap sistem itu boleh menimbulkan kesan serius terhadap pekerjaan, hubungan sosial dan kestabilan psikologi masyarakat.
Beliau berkata, penggunaan AI tanpa kawalan berisiko menyebabkan kehilangan pekerjaan, manipulasi tingkah laku, penipuan digital dan melemahkan keupayaan manusia membuat pertimbangan sendiri.
“AI memang alat berkuasa untuk kemajuan, tetapi ia juga boleh menjadi ancaman besar jika dibiarkan berkembang tanpa kawalan.
“Apa yang membimbangkan, manusia semakin bergantung kepada sistem ini untuk membuat keputusan harian daripada pemilihan berita hingga urusan kewangan hingga kemahiran berfikir dan menilai semakin lemah.
“Kita juga melihat bagaimana AI digunakan untuk menipu termasuk klon suara serta video palsu yang menyebabkan kerugian besar kepada pengguna dan ia terbukti apabila untuk 2024 sahaja, Malaysia merekodkan 13,956 kes penipuan pelaburan membabitkan video palsu dengan kerugian RM2.11 bilion,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, tadbir urus yang bertanggungjawab, reka bentuk beretika serta kesedaran awamamat penting bagi memastikan kecerdasan buatan kekal sebagai alat yang membantu manusia, bukannya sistem yang mengawal atau mempengaruhi pilihan mereka. – MalaysiaGazette
















