PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan bersama pegawai dan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengendalikan kes kehilangan aktivis Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh esok.
Menurut beliau, ia bagi mendapatkan maklumat lengkap secara menyeluruh susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
“Esok pagi, saya akan mengadakan pertemuan dengan pegawai berkenaan dan AGC yang mengendalikan kes ini daripada awal.
“Tujuannya supaya saya mendapat taklimat lengkap yang menyeluruh kerana keputusan dan arahan mahkamah termasuk mengarahkan pasukan polis untuk memulakan siasatan.
“Ia juga berkaitan hala tuju siasatan, mengklasifikasikan dan sebagainya setelah kita mendapat taklimat penuh, itu tindakan sekarang.
“Saya tidak boleh gopoh dalam memberikan sebarang kenyataan adalah lebih baik saya terlebih dahulu mendapat maklumat yang lengkap.,” katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Wira Madani di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini.
Saifuddin turut menegaskan, beliau akan memaklumkan perkembangan berhubung perkara itu akan diberitahu dari semasa ke semasa.
Terdahulu, AGC memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berhubung kes kehilangan aktivis, Amri dan Raymond.
AGC dalam dua kenyataan berasingan hari ini berkata, rayuan akan difailkan susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Su Tiang Joo yang memutuskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kehilangan mereka.
Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016 manakala Raymond hilang pada 13 Februari 2017.
Semalam, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.
Mahkamah turut mengarahkan PDRM membuka semula siasatan kehilangan Amri bermula semalam dan melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
Mahkamah sama turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Raymond, Susanna Liew.
Ia susulan perintah supaya kerajaan dan PDRM membayar ganti rugi RM10,000 sehari kepada keluarga Raymond bermula dari tarikh beliau diculik pada 13 Februari 2017 sehingga pihak berkuasa mendedahkan keberadaannya.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman yang difailkan oleh kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing. – MalaysiaGazette
















