Mohd Ridhwan (tengah) bergambar bersama pelajar pada Forum Kesopanan dan Kesusilaan Dalam Kalangan Generasi Muda anjuran World Youth Foundation (WYF) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Alor Gajah, Lendu, hari ini.

ALOR GAJAH – Gerakan Belia 4B Malaysia menggesa semua pertubuhan belia agar lebih proaktif meneroka peluang baharu dalam mendepani pelaksanaan dasar had umur belia bawah 30 tahun yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya 1 Januari depan.

Presidennya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, pelaksanaan dasar tersebut menuntut pertubuhan-pertubuhan belia untuk segera merangka strategi baharu bagi memastikan kelangsungan kepimpinan serta kesinambungan aktiviti di peringkat akar umbi.

Mohd Ridhwan Mohd Ali

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semata-mata.

“Pertubuhan belia mesti bijak mencari dan meneroka peluang baharu yang ada dalam pelan kementerian serta agensi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Forum Kesopanan dan Kesusilaan Dalam Kalangan Generasi Muda anjuran World Youth Foundation (WYF) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung WYF Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Mohd Ridhwan yang juga Pengerusi WYF berkata, pelaksanaan had umur itu dijangka memberi kesan besar kepada pertubuhan belia di seluruh negara, termasuklah Gerakan Belia 4B sendiri.

Mohd Ali menyampaikan ucapan  pada Forum Kesopanan dan Kesusilaan Dalam Kalangan Generasi Muda anjuran World Youth Foundation (WYF) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Alor Gajah, Lendu, hari ini.

“Kalau di peringkat 4B, kita jangka sekitar 5,000 ahli akan terkeluar daripada takrifan umur belia.

“Itu belum termasuk jumlah keseluruhan ahli belia di luar 4B, yang saya percaya lebih besar lagi.

“Secara kasar, hampir satu pertiga daripada sejuta ahli belia di seluruh negara akan terkesan,” ujarnya.

Menurutnya Mohd Ridhwan, walaupun perubahan dasar itu dijangka mengurangkan jumlah ahli muda, pertubuhan perlu mengambil langkah berani dengan memperkukuh kerjasama bersama alumni serta membangunkan bakat kepimpinan baharu.

“Kita akan kehilangan ramai ahli dan bakat berpotensi, tetapi ini masa untuk kita gerakkan alumni serta tenaga muda baharu agar pertubuhan lama tidak pupus.

“Tempoh dua bulan yang tinggal ini sangat kritikal sebab itu setiap pertubuhan perlu segera rangka hala tuju dan pelan survival supaya dapat kekal relevan dan terus menjadi suara anak muda di peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, Gerakan Belia 4B Malaysia turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan KBS, agensi kerajaan serta rakan strategik lain bagi memperkukuh ekosistem pembangunan belia yang lebih dinamik dan inklusif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast