PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamadkan 100 peratus rundingan kerusi dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hujung bulan ini.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rundingan itu melibatkan PH dan BN yang akan memasuki gelanggang pilihan raya tanpa sebarang pertembungan kerusi.
“Rundingan dengan BN selesai, rundingan PH dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu rundingan minggu lepas. Kita selesaikan mesyuarat terakhir tapi ada sejumlah kerusi yang sangat minima.
“Satu kerusi yang belum lagi kita capai kata putus, dan kita masih ada masa sebelum 15 Nov untuk kita muktamadkan. Saya yakin kita boleh capai.
“PH dan BN tiada pertembungan kerusi dengan GRS, hanya satu kerusi daripada 73 PH belum selesai berunding,” katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Wira Madani di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini.
Terdahulu, PH telah mengadakan kerjasama dengan BN dan GRS dalam menghadapi PRN Sabah sementara BN dan GRS tidak bergabung antara satu sama lain.
Sebelum ini, Ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud dipetik berkata mereka hampir pasti bertanding antara 10 hingga 12 kerusi selepas perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN.
Menurutnya, setakat ini, antara kerusi yang dikenal pasti ialah Gum-Gum, Karamunting, Segama, Merotai, Inanam, Petagas, Api-Api, Sindumin dan Melalap manakala beberapa lagi masih dalam perbincangan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dengan tarikh penamaan calon pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November depan. – MalayaiaGazette
















