Biduanita Negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin pada Majlis Perlantikan Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan di UiTM Shah Alam. Foto FB UiTM.

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus mendapat pengiktirafan akademik apabila dilantik sebagai Profesor Adjung bagi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ia sebagai mengiktiraf sumbangan cemerlang beliau dalam bidang keusahawanan setelah berjaya membina empayar perniagaannya sendiri.

Siti menerima watikah pelantikan dalam satu majlis yang berlangsung di UiTM kampus Shah Alam hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP), Profesor, Ts Dr. Shafinar Ismail.

Dr. Shahrin Sahib berkata, pelantikan selama dua tahu bermula 15 Oktober lalu hingga 15 Oktober 2027 menandakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan UiTM.

“Pelantikan itu amat bermakna kepada Fakulti Perniagaan dan Pengurusan kerana ia mencerminkan komitmen UiTM untuk merapatkan kecemerlangan akademik dengan kejayaan keusahawanan dunia sebenar, memberi inspirasi kepada pelajar dan kakitangan untuk mengejar inovasi, kreativiti dan kepimpinan perniagaan.

“Inisiatif ini diterajui oleh FPP di bawah pimpinan Profesor Ts. Dr Shafinar Hj. Ismail menunjukkan dedikasi fakulti untuk memupuk kerjasama industri-akademik strategik yang memperkaya pengalaman pembelajaran dan memperkasakan usahawan masa depan,” katanya di Facebook UiTM hari ini.

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, menganggap pengiktirafan terbabit sebagai tanggungjawab untuk berkongsi ilmu dan pengalaman sedia ada sebagai anak seni dan juga usahawan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast