PUTRAJAYA – Semua penganjur acara sukan tempur dilarang melibatkan atlet bawah umur 15 tahun dalam acara full-contact tanpa pelindung keselamatan dan perlu mengikut peraturan badan pengelola kebangsaan masing-masing.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, penyertaan atlet bawah umur bagi sukan tempur seni bela diri campuran (MMA) , muay thai, kickboxing dan tinju hanya dibenarkan dalam kejohanan rasmi anjuran Persatuan Sukan Kebangsaan atau Persatuan Sukan Negeri yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
Menurutnya, keputusan itu dibuat selaras dengan kuasa yang diperuntukkan sebagai menteri di bawah Akta 576 setelah mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan.
“Pesuruhjaya Sukan diberi tanggungjawab bagi mengkaji keseluruhan mekanisme mengawal selia acara-acara sukan itu demi memastikan keselamatan dan integriti pertandingan “unarmed combat.”
“Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan menyelia pengumpulan data berkaitan kejohanan, jumlah atlet, kadar kecederaan dan insiden kesihatan.
“Statistik ini akan menjadi asas kepada pembangunan dasar serta garis panduan yang akan diperincikan kelak,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.
Baru-baru, peserta kanak-kanak dalam satu video berdurasi hampir tiga minit memohon maaf kepada Hannah, timbalannya, Adam Adli Abd Halim, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek atas insiden yang berlaku pada sidang media kejohanan Warzone World Championship (WWC).
Namun Hannah meluahkan rasa sedih dan ralat terhadap tindakan penganjur yang didakwanya menggunakan peserta kanak-kanak mengemukakan permohonan maaf kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung penganjuran kejohanan tersebut.
Tegas beliau, tindakan tersebut tidak wajar dan menimbulkan persoalan tentang kebertanggungjawaban pihak penganjur, memandangkan acara tersebut dijalankan tanpa kelulusan rasmi daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
“Tolong jangan gunakan kanak-kanak untuk membuat penjelasan seperti ini. KBS tidak memerlukan anak kecil ini untuk meminta maaf. Anak kecil tidak salah. Penganjur perlu bertanggungjawab,” katanya
Mengulas lanjut, Hannah menambah, KBS komited memperkukuh tadbir urus dan aspek keselamatan dalam penganjuran beberapa sukan tempur full contact di Malaysia khususnya bagi acara sukan bukan berprestasi tinggi.
Jelas beliau, pihaknya turut mengambil maklum isu berkaitan trend peningkatan penganjuran pertandingan sukan tempur itu yang membabitkan pempengaruh dan selebriti.
“Walaupun acara ini menerima sambutan daripada penonton dan berkemampuan menjana impak ekonomi yang positif, KBS tidak akan berkompromi dengan keselamatan, integriti atau perlindungan atlet dan kanak-kanak.
“KBS ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat bahawa sukan tempur adalah salah satu kategori sukan yang dikawal selia di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) dan tidak wajar dianggap sebagai aksi hiburan semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette
















