Suraya Sulaiman

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan agar diwujudkan Tabung Bantuan Pesakit B40 Negeri Johor bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman mencadangkan tabung itu diwujudkan menerusi kerjasama kerajaan negeri, hospital dan badan kebajikan.

Jelas beliau, tujuannya bagi membantu mereka yang benar-benar tidak mampu membayar bil rawatan di hospital.

Menurutnya, tabung itu dicadangkan bagi menyelesaikan isu pembayaran bil hospital kerajaan yang semakin membebankan golongan B40, khususnya pesakit yang berpendapatan rendah, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

“Pejuang Johor berpandangan bahawa akses kepada rawatan kesihatan adalah hak asas rakyat, bukan satu beban kewangan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, masih terdapat laporan mengenai pesakit atau waris yang terpaksa menanggung tunggakan bil rawatan walaupun datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Suraya menggesa kerajaan meneliti semula dasar pengecualian atau pengurangan bayaran hospital kerajaan, agar benar-benar berpaksikan kepada kemampuan rakyat.

“Mekanisme semakan kelayakan perlu lebih fleksibel, tidak terlalu birokratik, dan mengambil kira situasi sebenar rakyat di lapangan,” katanya.

Kesihatan rakyat ujarnya, mesti menjadi keutamaan dan tidak mahu ada rakyat Johor yang takut mendapatkan rawatan kerana bimbang tidak mampu membayar.

“Pejuang Johor akan terus memperjuangkan isu ini agar kebajikan dan kesejahteraan golongan B40 sentiasa dibela,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast