KENYATAAN media Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkenaan tiket kapal terbang menjelang PRN-17 Sabah.

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan khususnya AirAsia wajar menawarkan tambang khas bawah RM300 bagi perjalanan pergi dan balik kepada pengundi Sabah sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) Sabah.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, walaupun AirAsia baru-baru ini mengumumkan promosi khas “Jom Balik Undi” dengan tambang serendah RM299 sehala, realitinya harga tersebut masih terlalu tinggi bagi kebanyakan rakyat Sabah, khususnya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Ujarnya, dengan kadar RM299 sehala, perjalanan pergi balik Sabah–Semenanjung mencecah sekitar RM598 seorang, belum termasuk caj bagasi, cukai lapangan terbang dan perbelanjaan lain.

“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini dengan tekanan kos sara hidup dan kuasa beli rakyat yang semakin menurun mampukah rakyat biasa menanggung hampir RM600 hanya untuk pulang mengundi?” katanya dalam satu kenyataan.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran turut mengimbas kembali yang mana AirAsia pernah menerima pembiayaan sebanyak RM300 juta daripada Sabah Development Bank (SDB) ketika tempoh pandemik Covid-19 iaitu kelulusan yang diberikan semasa pentadbiran bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Setakat ini, jelasnya, jumlah bayaran balik kepada SDB hanya sekitar RM170 juta, bermakna masih terdapat baki besar yang belum dilunaskan kepada institusi kewangan milik Kerajaan Negeri Sabah.

Sehubungan itu, ujarnya, atas dasar moral dan keadilan sosial, wajar bagi AirAsia menunjukkan rasa tanggungjawab kepada negeri yang pernah membantu mereka bertahan dengan menawarkan tambang khas bawah RM300 pergi balik bagi pengundi Sabah sepanjang tempoh pilihan raya.

“Dari sudut ekonomi dan tanggungjawab korporat, langkah ini membawa kesan positif iaitu menunjukkan kepekaan moral bekas kepimpinan negeri bahawa bantuan dana negeri kepada syarikat korporat akhirnya kembali kepada rakyat, bukan hanya kepada keuntungan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru Mohd Shafie turut menyeru agar AirAsia menyalurkan subsidi tambang khas kepada rakyat Sabah yang ingin pulang mengundi.

“Jika dana RM300 juta daripada Sabah Development Bank pernah membantu syarikat ini bertahan di waktu sukar, maka menurunkan harga tiket kepada bawah RM300 untuk rakyat Sabah pulang mengundi bukanlah beban tetapi satu bentuk tanggungjawab sosial,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast