SUNGAI PETANI – Seramai 15 mangsa daripada enam keluarga di Kampung Bukit Belah, di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Belah dibuka pada jam 12 tengah hari tadi bagi menempatkan semua mangsa yang terjejas.
“Kesemua mangsa merupakan penduduk Mukim Sungai Petani yang terpaksa berpindah selepas kawasan rumah mereka dinaiki air.

“Setakat jam 4 petang ini, PPS berkenaan masih menempatkan kesemua 15 mangsa sementara keadaan cuaca dan paras air terus dipantau oleh pihak berkuasa,” katanya hari ini.
Sementara itu, laman web rasmi Public Infobanjir memaparkan dua sungai di Kedah melebihi tahap bahaya iaitu Sungai Jarak di Kulim dengan 5.33 meter (m) dan Sungai Titi Kerbau di Pendang (4.27m), manakala Sungai Pedu dalam daerah Padang Terap melebihi tahap waspada (18.71m). – MalaysiaGazette
















