Anis Afida Mohd Azli menunjukkan Sungai Johor yang tercemar dan memberi kesan kepada lebih satu juta pengguna dan 150 nelayan

JOHOR BAHRU – Krisis bekalan air akibat pencemaran Sungai Johor jelas menunjukkan kelemahan dalam pemantauan serta penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan di kawasan sensitif sumber air negeri.

Pengerusi Biro Alam Sekitar Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Anis Afida Mohd Azli berkata, insiden itu yang telah menjejaskan hampir sejuta penduduk di Johor Bahru, Kulai, Skudai dan Kota Tinggi hampir seminggu amat serius.

“Amanah Johor menggesa kerajaan negeri melalui Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj) agensi Persekutuan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak segera.

“Mereka boleh menggunakan akta dan enakmen masing-masing bagi memulihkan keadaan dan memastikan Loji Rawatan Air (LRA) seperti Sungai Johor, Semangar dan Linggiu dapat beroperasi semula,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, laporan awal JAS mengesahkan kejadian itu berpunca daripada pecahnya benteng kolam silt di tapak perlombongan pasir berhampiran Kota Tinggi dan mencemarkan sungai.

Amanah Johor katanya, menuntut agar syarikat perlombongan yang bertanggungjawab didedahkan kepada umum dan tidak dilindungi oleh mana-mana pihak.

Katanya, ketelusan hasil siasatan oleh JAS, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) amat penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan alam sekitar negara.

“Amanah Johor juga menegaskan supaya tindakan tegas diambil di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Pindaan 2024 (Akta A1712) yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta dan penjara lima tahun.

“Begitu juga Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mewajibkan pihak pencemar menanggung kos pemulihan sumber air. Undang-undang negeri seperti Enakmen Mineral Johor 2009 juga perlu dikuatkuasakan tanpa kompromi,” katanya.

Anus berkata, Amanah Johor menegaskan insiden itu harus menjadi pengajaran bahawa pembangunan ekonomi mesti seiring dengan tanggungjawab menjaga alam sekitar.

“Sungai ialah nadi kehidupan rakyat dan pencemarannya adalah pengkhianatan terhadap hak rakyat untuk mendapatkan air bersih dan kehidupan yang sejahtera,” ujarnya.

Jumaat lalu, pencemaran di Sungai Johor, Kota Tinggi disedari penduduk pukul 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Pencemaran itu menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) yang mengambil sumber air mentah dari Sungai Johor terjejas melibatkan 1.8 pengguna dan 150 nelayan di Johor Bahru, Kota Tinggi, Pontian, Gelang Patah dan Kulai.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast