PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas mengenai rombakan Kabinet sejurus tamat majlis yang dihadirinya, di sini, hari ini.
Sebaliknya Perna Menteri yang mengelak pertanyaan media berhubung perkara itu hanya tersenyum dan berkata: “Tanya (soalan) yang lain,” sebelum beredar.
Persoalan itu timbul apabila Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, dalam ucapannya pada majlis sama secara berseloroh menyatakan bahawa beliau mungkin tidak lagi bersama Kabinet dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.
“Saya berharap sokongan daripada Perdana Menteri akan terus kekal untuk penganjuran festival ini pada masa hadapan.
“Sama ada saya masih dalam Kabinet atau tidak, itu soal nombor dua,” katanya pada majlis penutup Festival Idea Putrajaya 2025 (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Tempoh pelantikan Zambry sebagai Ahli Dewan Negara akan tamat pada 2 Disember ini, selepas beliau mengangkat sumpah pada 3 Disember 2022.
Zambry merupakan antara empat menteri Kabinet yang dilantik sebagai Senator bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama) serta Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri).
Hanya Tengku Zafrul satu-satunya yang kini berkhidmat untuk penggal kedua.
Ketika ditemui selepas majlis berakhir, Zambry tidak menafikan atau mengesahkan sebarang kemungkinan rombakan Kabinet.
“Semua itu terpulang kepada beliau (Anwar). Saya tidak tahu apa-apa,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















