Akademi Profesor Malaysia (APM).

KUALA LUMPUR – Akademi Profesor Malaysia (APM) berpandangan adalah tidak salah bagi ahli akademik termasuk para profesor untuk menyuarakan pandangan dalam hal yang lebih luas di luar bidang kepakaran masing-masing.

APM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, ia selagi pandangan tersebut dilontarkan secara berhemah, berpandukan ilmu yang sahih, mematuhi etika akademik dan tidak menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat.

Katanya, etika akademik menuntut agar sebarang pandangan yang dikemukakan oleh ahli akademik disokong oleh bukti dan hujah yang kukuh, sama ada daripada hasil penyelidikan sendiri atau sumber-sumber ilmiah yang muktabar.

“Tanggungjawab utama ahli akademik ialah untuk mengajar, menjalankan penyelidikan dan menyumbang ilmu dalam bidang kepakaran masing-masing dengan penuh integriti serta berpaksikan kepada bukti serta kaedah saintifik yang sahih,” katanya.

Tambah APM, integriti dan proses saintifik adalah prinsip yang perlu dipertahankan dan para ahli akademik bertanggungjawab memastikan hasil penyelidikan serta pandangan mereka berasaskan bukti yang boleh dipercayai, boleh disemak dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Jelasnya, peranan ahli akademik bukan sahaja menghasilkan ilmu, tetapi juga memastikan ilmu tersebut dikongsi dan digunakan dengan penuh tanggungjawab, mengambil kira implikasi etika serta kesan kepada pelajar, masyarakat dan negara.

“APM menyeru semua ahli akademik khususnya para profesor untuk terus memainkan peranan penting dalam membina masyarakat yang berilmu, beretika dan berfikiran kritis, selaras dengan aspirasi negara menuju kemajuan berasaskan ilmu,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengingatkan golongan akademik agar tidak sewenang-wenangnya memberi pandangan secara terbuka berhubung isu di luar bidang kepakaran masing-masing bagi menjaga kredibiliti dan maruah institusi pengajian tinggi.

Tegas beliau, dunia akademik mempunyai tatacara serta panduan tersendiri yang perlu dihormati bagi memastikan integriti ilmu sentiasa terpelihara.

Beliau mengulas mengenai dakwaan seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mendakwa teknik pembinaan kapal tamadun Rom dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu, susulan penemuan papan kayu dipercayai serpihan kapal dari abad ke-13 di Pulau Melaka, Melaka, Jumaat lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast