MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi mencipta sejarah gemilang apabila diumumkan sebagai Johan bagi dua kategori utama dalam Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Malaysia: Rekabentuk Kurikulum dan
Penyampaian Inovatif (AKRI) 2025, sekali gus mengangkat nama universiti ke persada kebangsaan sebagai peneraju inovasi pendidikan tinggi teknikal negara.
UTeM muncul Johan bagi Kategori Anugerah Kurikulum Program Pengajian Inovatif yang dimenangi oleh Ts. Dr. Hamzah Asyrani Sulaiman dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), serta Johan bagi Kategori Anugerah Pentaksiran
Alternatif yang diraih oleh Ts. Dr. Sharifah Sakinah Syed Ahmad dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FAIX).
Kedua-dua kemenangan tersebut membawa pulang RM10,000 berserta trofi dan sijil penghargaan bagi setiap kategori, melambangkan pengiktirafan tertinggi terhadap keunggulan inovasi akademik UTeM di peringkat nasional.
Turut membanggakan, Dr. Masni Azian Akiah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Pendidikan Teknikal (FTKIP) turut dinobatkan sebagai finalis bagi Kategori Anugerah Pengajaran Transformatif, sekali gus melengkapkan pencapaian
bersejarah UTeM pada penganugerahan berprestij ini.
Kemenangan berganda ini mencerminkan komitmen padu warga akademia UTeM dalam melahirkan ekosistem pembelajaran inovatif, kreatif dan berpaksikan masa depan, memperkukuh reputasi UTeM sebagai universiti teknikal terkehadapan yang bukan sahaja berfokus kepada TVET, tetapi juga cemerlang dalam reka bentuk kurikulum dan pendekatan pentaksiran alternatif yang progresif.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr. Massila Kamalrudin berkata, kemenangan ini hasil kesungguhan, daya inovasi dan semangat tinggi para pensyarah UTeM dalam memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi serta nilai TVET.
“Kemenangan ini juga membuktikan UTeM terus berada di landasan tepat dalam menyokong aspirasi Pendidikan Tinggi
MADANI yang menekankan keseimbangan antara ilmu, kemahiran dan nilai insaniah,” ujar beliau.
Menurut beliau lagi, kemenangan ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian individu, tetapi simbol kekuatan budaya inovasi dan kolaborasi yang telah lama menjadi tunjang kepada kecemerlangan UTeM. – MalaysiaGazette
















