SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) mengesahkan tiada sebarang perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai rombakan Kabinet didakwa bakal berlaku dalam masa terdekat.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya menerima apa sahaja keputusan Perdana Menteri jika berlaku perubahan portfolio melibatkan wakilnya dalam Kabinet.
“Sekarang setakat ini belum (bincang rombakan Kabinet dengan PMX). Sebab Perdana Menteri ada hak untuk memuatkan Kabinetnya, nak penuhkan apa yang perlu, itu terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukan.
“Perdana Menteri boleh ambil orang politik, orang profesional atau orang dari parti atau luar parti.
“Mana-mana sahaja (Amanah sedia ditukar portfolio). Itu kita serah kepada Perdana Menteri,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Nasional 2025 Amanah hari ini.
Semalam, media melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memberi bayangan rombakan Kabinet kerana tempoh beliau sebagai Ahli Dewan Negara bakal berakhir awal Disember ini.
Menurut Zambry, beliau menyerahkan sepenuhnya kedudukannya kepada Perdana Menteri serta menekankan agenda negara kekal menjadi keutamaan.
Ketika diminta mengulas kedudukan Zambry dan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Kabinet, Mohamad tidak dapat mengesahkan perkara itu dan Amanah menerima apa sahaja keputusan Perdana Menteri.
“Itu juga saya tidak tahu, sama ada senator mereka akan disambung atau tidak, itu juga hak Perdana Menteri yang akan menentukan.
“Jadi siapa yang nak berhenti, siapa yang cukup tempoh itu, Perdana Menteri yang akan menentukan. (Amanah terima keputusan) Ya, memang sahaja.
“Sebab kita kena jaga (kestabilan), kerana pilihan raya sudah dekat, kita kena kuatkan pasukan untuk hadapi pilihan raya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















