PORT DICKSON – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan dan Petron Malaysia memperkukuh kerjasama bagi memerangi rasuah serta meningkatkan pengurusan tatakelola dalam syarikat.
Usaha itu diumumkan hari ini selepas kunjungan hormat Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ke pejabat Petron Port Dickson untuk bertemu Pengurus Operasi Terminal Petron Malaysia, Raimi Hazwani Azman.

Dalam pertemuan itu, SPRM Negeri Sembilan menjemput Petron Malaysia untuk melaksanakan program pemantapan integriti dan pencegahan rasuah melalui inisiatif pengecualian cukai di bawah Seksyen 34(6)(h), Akta Cukai Pendapatan 1967.
“SPRM Negeri Sembilan melihat Petron Malaysia sebagai syarikat yang sesuai untuk melaksanakan inisiatif ini berdasarkan sejarah, latar belakang dan komitmen yang telah ditunjukkan mereka selama ini,” ujar Taufik.
Program yang dirancang untuk tahun 2026 itu akan melibatkan aktiviti bersama pelajar bagi memupuk kesedaran antirasuah, nilai murni, integriti, dan tanggungjawab terhadap alam sekitar, serta usaha mempertingkatkan tatakelola kakitangan Petron untuk memastikan pematuhan undang-undang dan meningkatkan daya saing syarikat.
Pihak Petron Malaysia menyambut baik pelawaan dan usaha tersebut dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam pelbagai program yang memberi manfaat kepada negara dan masyarakat.
“Kami sentiasa bersedia dan akan memberikan kerjasama terbaik dalam melaksanakan sebarang bentuk kegiatan yang bermanfaat, selaras dengan matlamat kami untuk menyumbang kepada masyarakat, termasuk pelajar serta kelestarian alam sekitar,” kata Raimi.
SPRM Negeri Sembilan menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh budaya integriti melalui kerjasama dengan sektor swasta dan program pencegahan rasuah. – MalaysiaGazette















