MUKAH – Seorang lelaki warga asing berumur 35 tahun ditahan polis di Simpang Tiga Jalan Ladang Sawit, Kawasan Syarikat Perladangan Mukah kerana memiliki dadah jenis methamphetamine atau syabu semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Supritendan Muhamad Rizal Alias, tangkapan dilakukan sekitar 9.30 malam oleh sepasukan polis bahagian siasatan jenayah narkotik berdasarkan maklumat awal.
Pemeriksaan mendapati suspek memiliki satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal dadah dengan berat kasar 0.40 gram yang dianggarkan bernilai RM100.
“Suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, dan mengaku mula menagih sejak tahun 2023. Polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah,” kata Muhamad Rizal dalam satu kenyataan.
Suspek yang bekerja sebagai buruh direman selama empat hari sehingga 12 November bagi melengkapkan siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette















