Bakal peserta seni tempur paling dinantikan di utara tanah air, Warrior’s Arena 2025.

KEPALA BATAS – Aksi seni tempur paling dinantikan di utara tanah air, Warrior’s Arena 2025 bakal berlangsung malam ini di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Acara anjuran SecondBrain dengan kerjasama Persatuan Nadi Persahabatan Kepala Batas (NPKB), NSH One Solution serta beberapa rakan strategik termasuk T-Fight dan Persatuan Muay Thai Malaysia itu dijangka menarik lebih 3,000 penonton.

Menampilkan lebih 16 pertarungan Muay Thai profesional, acara akan bermula pukul 7.30 malam ini dan menghimpunkan barisan pejuang tempatan dan antarabangsa dari Indonesia, Thailand dan Iran.

Antara pertarungan tumpuan termasuk Super Main Event membabitkan Miki Ghazali (Malaysia) menentang Yodkitti (Thailand), serta Main Event antara Elias Ghazali (Sarawak) dan Sabri (Terengganu) dalam kategori Bantamweight.

 

Menurut penganjur utama, Ahmad Akhmal Mohd Noor, Warrior’s Arena 2025 bukan sekadar pertandingan sebaliknya platform untuk mengangkat martabat seni Muay Thai tempatan ke peringkat antarabangsa serta memberi ruang kepada atlet muda menonjolkan bakat.

Warrior’s Arena adalah simbol semangat juang dan disiplin. Kami mahu jadikan acara ini bukan sekadar tontonan, tapi pengalaman untuk peminat, atlet dan komuniti. Pulau Pinang akan menjadi saksi kepada kebangkitan generasi baharu pejuang tempur Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain aksi di gelanggang, penonton turut berpeluang menyertai aktiviti sampingan seperti sesi bergambar bersama atlet, pameran Muay Thai dan promosi produk sukan tempatan.

Acara ini turut disiarkan secara langsung berbayar melalui platform media sosial rasmi untuk tontonan dalam talian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast