KUALA LUMPUR – Keputusan Jemaah Menteri menjadikan Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) sebagai satu acara tahunan membuktikan komitmen kerajaan menjadikan pendidikan tinggi sebagai teras pembangunan negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Zambry Abdul Kadir berkata, FOI kini menjadi gerakan nasional memperkukuh budaya ilmu dan inovasi negara.
“Budaya ilmu perlu hidup di semua peringkat masyarakat bukan hanya di universiti,” katanya pada majlis penutupan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Festival lima hari itu menarik lebih 2.05 juta pengunjung termasuk 1.55 juta secara maya dan diperluas ke 13 negeri dengan tema MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea.
Sidang MyIDEAS mencatat 234 sesi bersama 251 pakar dan diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai ‘Sidang Wacana Akademik Terbanyak di Malaysia’.
Selain itu, segmen MyIDEAS Connect menghimpunkan lebih 2,000 pempamer dengan 102 perjanjian kerjasama bernilai lebih RM172 juta.
Tambah beliau, kejayaan FOI membuktikan universiti kini menjadi medan penyatuan idea dan bakat negara menuju masa depan berasaskan ilmu dan inovasi. – MalaysiaGazette
















