Nora bersama-sama peserta selepas Fiesta Kesenian dan Kebudayaan Penghuni Penjara Malaysia di Intan Kampus Wilayah Selatan, Kluang.

KLUANG – Jabatan Penjara sedang membangunkan standard kualiti Program Pembangunan Insan sebagai panduan rasmi agar setiap aktiviti pemulihan banduan dilaksanakan secara seragam.

Pengarah Bahagian Korektif Jabatan Penjara Malaysia, Nora Musa berkata, tujuannya juga bagi mempunyai impak tinggi dan menepati objektif.

“Jabatan Penjara Malaysia sentiasa menekankan pelaksanaan program pemulihan bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi luar yang berkepakaran.

“Sejak sekian lama, kita telah berkolaborasi dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, Yayasan Dakwah Islam Malaysia dan universiti awam.

“Ini bagi memastikan prospek pemulihan menerima pendidikan holistik merangkumi rohani, intelektual dan sahsiah,” katanya berucap dalam Fiesta Kesenian dan Kebudayaan Penghuni Penjara Malaysia di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS) di sini hari ini.

Katanya, jabatan itu juga terus memperkukuh Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dengan mengintegrasikan prospek ke pangkuan masyarakat melalui Sistem Parol dan Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).

Dalam pada itu, Nora berkata, program itu bukan sekadar wadah untuk mempersembahkan bakat seni dan budaya tetapi juga menjadi platform integrasi sosial yang amat penting.

Melalui kegiatan seperti itu, para penghuni diberi peluang mengekspresikan diri, membina keyakinan dan mengasah potensi diri melalui seni yang merupakan bahasa universal dengan sifat menyatukan manusia tanpa mengira latar belakang.

“Hari ini, usaha itu diperluas melalui Fiesta Kesenian dan Kebudayaan Penghuni Penjara Malaysia dengan penglibatan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara Johor,” katanya.

Selain itu, beliau menyeru agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk terus memberi peluang pekerjaan kepada bekas banduan.

Tambahnya, kerjasama juga diperlukan dalam menyokong program-program intervensi pihaknya dalam usaha pemulihan banduan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast