KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dicekup susulan cubaan samun dan memecah masuk tanpa pakaian di Taman Sri Sentosa di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, kejadian itu disedari oleh mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 20 tahun ketika itu sedang menyidai pakainnya.
Menurut sumber Sinar Harian, selepas mangsa menyedari kehadiran lelaki itu, mangsa cuba untuk melarikan diri namun dihalang suspek terbabit.
“Dalam kejadian berkenaan, telah berlaku satu pergelutan diantara kedua-dua mereka sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian paha kiri, bibir serta tangan kiri.
“Suspek juga telah mengugut untuk membunuh mangsa dan meminta wang daripadanya.
“Mangsa juga cuba untuk mendapatkan bantuan melalui telefon bimbitnya namun suspek telah mengambil telefon itu dan membawanya lari,” katanya pada Ahad.
Menurut beliau, suspek telah ditahan di Taman Sri Sentosa pada pukul 7.12 petang semalam dan didapati bahawa beliau mempunyai 12 rekod jenayah dan tujuh rekod dadah selain positif ganja.
Hoo Chang Hook berkata, susulan daripada tangkapan itu, pihaknya telah merampas tiga telefon bimbit termasuk milik mangsa, sebuah beg galas, sebuah komputer riba, sehelai baju dan selipar.
“Siasatan awal mendapati suspek megaku bersalah terhadap beberapa kes yang disiasat sebelum ini yang disabitkan di bawah Seksyen 394 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Suspek turut berkata, beliau melakukan perkara tersebut untuk kegunaan perbelanjaan seharian,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa suspek telah direman selama lima hari sehingga 13 November ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette
















