Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Seremban, Gary Marimuthu

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Seremban, Gary Marimuthu mengecam tindakan P Waytha Moorthy yang didakwanya cuba mencemarkan imej Perdana Menteri dengan tuduhan tidak berasas.

Gary berkata, walaupun bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu telah membuat permohonan maaf secara terbuka namun isu fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dianggap selesai begitu sahaja.

Tegasnya, ini kerana tuduhan tersebut melibatkan maruah kepimpinan tertinggi negara dan boleh menggugat kepercayaan rakyat.

“Sebagai bekas menteri, beliau sepatutnya lebih berhati-hati. Kenyataan yang melibatkan Perdana Menteri dan institusi kehakiman tidak boleh dibuat secara sembarangan.

”Permohonan maaf tidak semestinya menutup kesan fitnah yang telah menjejaskan persepsi rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan Anwar sentiasa menunjukkan komitmen terhadap prinsip keadilan dan ketelusan, termasuk dalam memastikan kebebasan badan kehakiman terus terpelihara di bawah pentadbiran kerajaan Madani.

Presiden Parti Kemajuan Malaysia, P. Waytha Moorthy

“Rakyat hari ini semakin matang dan tahu menilai siapa yang bercakap berasaskan fakta dan siapa yang mencipta persepsi untuk kepentingan politik jangka pendek,” katanya lagi.

Menurut Gary Muthu, Keadilan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba memanipulasi fakta bagi menjejaskan imej Perdana Menteri.

“Budaya fitnah mesti dihentikan jika kita benar-benar mahu membina politik nilai yang matang. Politik Madani menuntut kejujuran dan tanggungjawab bukan tipu daya untuk mencari kuasa,” tegasnya.

Baru-baru ini Waytha memohon maaf kepada Anwar selepas mengeluarkan dakwaan berhubung campur tangan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara adalah tidak benar.

Waytha dalam kenyataannya mengakui kesilapan tersebut dan menarik balik tuduhan yang dibuat, sambil menyatakan kekesalannya atas kenyataan terburu-buru yang menjejaskan nama baik Perdana Menteri. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast