Gambar ihsan IPD Temerloh

KUANTAN – Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 147,  Jalan Kuala Lumpur-Kuantan petang tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, ketika kejadian pukul 4.50 petang itu, kereta jenis Perodua Myvi dipandu isteri mangsa yang berusia 68 tahun dari arah Lanchang menghala ke arah Temerloh.

“Ketika sampai di tempat kejadian, tiba- tiba Myvi itu telah hilang kawalan lalu termasuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebelah kanan sebuah kereta BMW yang bergerak lurus dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ketika kejadian, anak perempuan mangsa berusia 31 tahun turut berada dalam kereta.

Manakala kereta BMW terbabit dinaiki sepasang suami isteri berusia 41 tahun bersama anak perempuannya berumur 11 tahun.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa iaitu lelaki berbangsa Cina berumur 79 tahun yang merupakan penumpang Myvi telah tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Sementara itu, kesemua pemandu serta penumpang kedua-dua kenderaan dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya lagi.

Mohd Nasyim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menasihati mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian untuk tampil ke balai Polis berdekata  bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast