KUALA LUMPUR – Dua rang undang-undang (RUU) berkaitan pembangunan kemahiran negara telah dibentangkan di Parlimen bagi bacaan kali pertama hari ini.
RUU berkenaan ialah Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 (Akta 652) dan Rang Undang-Undang Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 (Akta 640)
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pindaan dilakukan bagi memperkukuh sistem pembangunan kemahiran negara serta mempersiapkan tenaga kerja Malaysia menghadapi ekonomi masa depan berasaskan kemahiran dan teknologi.
Beliau berkata, pindaan Akta 652 akan memperkemas sistem persijilan kemahiran dan menjadikan dasar TVET lebih inklusif yang membabitkan penambahan keanggotaan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan, mengiktiraf program latihan luar NOSS untuk pembiayaan PTPK, serta memanjangkan tempoh pentauliahan penyedia latihan daripada tiga kepada enam tahun.
Selain itu, katanya, pindaan turut memperkenalkan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) sebagai laluan pembelajaran fleksibel dan mewujudkan kategori baharu seperti Pakar Kemahiran, Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran bagi mengiktiraf kepakaran tenaga kerja tempatan.
Sementara itu, Stevem memberitahu, pindaan terhadap Akta 640 pula memberi tumpuan kepada peluasan skop pembiayaan oleh PTPK, termasuk Pinjaman Latihan Kemahiran dan Bantuan Kewangan kepada program lain yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
“Langkah ini turut memperkukuh tadbir urus melalui proses kelulusan dan kawalan bantuan yang lebih telus, serta memperkasakan kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan, termasuk had masa tindakan undang-undang selama 12 tahun dan sekatan keluar negara terhadap peminjam ingkar,” tambahnya.
Pindaan ini dijangka menyelaraskan perundangan dengan lebih efisien serta memperluas bantuan kewangan kepada lebih ramai rakyat, termasuk peserta latihan bukan berasaskan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang berorientasikan keperluan industri.
Langkah itu selaras dengan aspirasi Malaysia Madani untuk membina ekosistem kemahiran yang lebih inklusif, fleksibel dan berimpak tinggi, serta memberi manfaat kepada tenaga kerja dan pembangunan negara secara menyeluruh.
Bacaan kedua dan ketiga bagi RUU berkenaan dijadualkan dibentangkan serta dibahaskan di Parlimen pada Disember ini. -MalaysiaGazette
















