Abi Musa (kiri) bertemu graduan program ijazah dual UMPSA-BJTU. Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias (tengah) dan Ketua Penolong Pengarah JPA, Mohd Khidzairy Zainal Abidin (kanan).

KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melakar kejayaan lagi apabila 45 graduan  mengikuti program perintis kerjasama UMPSA-Beijing Jiaotong University (BJTU) menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Rel.

Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias berkata ,kejayaan program kerjasama UMPSA-BJTU itu satu pencapaian tinggi bagi industri rel di Malaysia.

“Program ijazah dual ini menjadikan UMPSA universiti pertama di Malaysia yang menawarkan pengajian dua tahun di UMPSA dan dua tahun setengah di BJTU sekali gus melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi bagi menyokong pembangunan industri rel negara dan antarabangsa.

“Daripada 45 graduan tersebut, seramai 20 merupakan graduan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, 15 orang lagi adalah graduan bidang Kejuruteraan Awam dan sepuluh orang lagi adalah graduan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kali ini graduan menerima ijazah yang disampaikan Pro Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (DR) Abi Musa Asaari Mohamed Nor dan Timbalan Presiden BJTU, ProfGao Liang mewakili BJT.

Mengulas lanjut katanya Malaysia mampu menyediakan tenaga kerja tempatan yang berkelayakan dan berkemahiran tinggi serta mampu menyokong pembangunan sektor rel di Malaysia dan antarabangsa.

“UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam (UA) yang telah melaksanakan sebelas program ijazah dual sejak tahun 2010 dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Jerman yang masuk tahun ke-15 tahun pada tahun ini,” tambahnya.

Sehingga kini, program ijazah dual diperluas dengan universiti ternama lain iaitu Technische Hochschule Mannheim (THM) Jerman, Beijing Jiaotong University (BJTU) dan Tianjian University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan dan terkini dengan Hanyang University Erica Campus, Korea Selatan.

Majlis Konvokesyem UMPSA Kali ke-20 menyaksikan seramai 4,259 graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diraikan dalam Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung mulai 8 hingga 10 November ini di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.

Daripada jumlah ini seramai 243 graduan pascasiswazah termasuk 94 doktor falsafah (PhD) dan 149 sarjana, 2,900 graduan prasiswazah meliputi 2,096 sarjana muda, 97 ijazah dual, enam sarjana muda separuh masa, 701 diploma serta 1,116 graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMPSA Advanced diraikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast