Balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid tiba di perkarangan mahkamah bagi sebutan rujukan isu perlembagaan berkaitan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2025.(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan mahukan supaya Mahkamah Tinggi berlainan mendengar permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk merangka lapan persoalan undang-undang sebelum dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, prosiding itu perlu didengar di hadapan hakim berlainan bertujuan mempercepatkan pendengarannya.

Permohonan isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin itu sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi Jenayah 2 iaitu di hadapan Hakim K. Muniandy.

Bagaimanapun, ujar beliau, Timbalan Pendaftar Nur Liyana Mohd Sulaiman memaklumkan, Hakim Muniandy telah berpindah ke Mahkamah Rayuan dan hingga kini tempat beliau masih belum digantikan dengan hakim lain.

Kata Mohamad Fadhly, Nur Liyana kemudian menetapkan 21 November ini bagi sebutan kes bagi memaklumkan perkembangan sama ada pendengaran bagi membentuk persoalan undang-undang itu, kekal di Mahkamah Tinggi Jenayah 2 atau dipindahkan ke mahkamah berlainan.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menetapkan sebutan kes pada hari yang sama.

Pada 8 Oktober lalu, Hakim Muniandy memaklumkan prosiding bagi merangka persoalan undang-undang untuk menentukan kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapi Na’imah akan diteruskan di hadapan hakim berlainan.

Beliau kemudian menetapkan hari ini untuk pengurusan kes.

Na’imah memohon mahkamah membentuk persoalan undang-undang yang menyentuh isu perlembagaan antaranya hak individu untuk berdiam diri dan tidak dipaksa mengemukakan keterangan yang boleh digunakan untuk mensabitkannya dalam suatu prosiding.

Na’imah, 68, dituduh sengaja mengabaikan atau gagal mematuhi terma-terma suatu notis bertarikh 8 November 2023 yang dikeluarkan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM.

Pada 23 Januari 2024, Na’imah didakwa atas tuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain.

Na’imah didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.

Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama.

Harta itu membabitkan Ilham Tower Sdn. Bhd., Ilham Baru Sdn. Bhd., dua Mercedes-Benz, lapan hartanah, sebuah kediaman di Bukit Tunku, enam bangunan, lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, Jalan Cantoment Road, Pulau Pinang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr. Ismail di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast