JOHOR BAHRU – Seorang lelaki akhirnya menghembuskan nafas terakhir semalam selepas lebih sebulan bertarung nyawa susulan kemalangan di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru-Air Hitam arah Skudai di sini pada 26 September lalu.
Ketua Polis Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian itu berlaku selepas mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC terlibat kemalangan dengan kereta Proton Saga 1.3 (A).
Beliau memberitahu, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada orang awam pada pukul 9.05 malam.
“Insiden tersebut berlaku apabila mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun menunggang dari arah Johor Bahru menghala ke Skudai.
“Motosikal lelaki terbabit telah hilang kawalan dan melanggar belakang sebelah kiri kereta tersebut dipandu seorang wanita berusia 24 tahun yang sedang bergerak lurus di lorong kanan jalan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Balver, akibat kemalangan tersebut penunggang terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di rumah semalam selepas mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Menurutnya, pemandu tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Hafiz Aminuddin 011-358 07871.- MalaysiaGazette














