KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapati masih wujud kecenderungan dalam kalangan agensi kerajaan untuk menggunakan bahasa asing secara berlebihan.
DBP dalam satu kenyataan memaklumkan, ia termasuk penggunaan nama atau slogan program yang sepenuhnya dalam bahasa asing.
Tegasnya, tindakan sedemikian tidak selari dengan aspirasi kerajaan dan citra kebangsaan malah memperlekeh usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan yang giat dilaksanakan.
“DBP menegaskan bahawa bahasa kebangsaan mestilah digunakan sepenuhnya dalam semua urusan rasmi kerajaan, termasuklah surat-menyurat, dokumen, komunikasi, penamaan program dan majlis rasmi dalam urusan perkhidmatan awam,” katanya.
Tambah kenyataan itu, penggunaan bahasa asing atau bahasa rojak dalam konteks rasmi tidak selari dengan penegasan Kerajaan melalui Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) antaranya yang bertarikh 29 Oktober 2025.
Ujarnya, surat edaran tersebut menjelaskan semua urusan rasmi kerajaan termasuk program, aktiviti dan projek yang dianjurkan atau diurus hendaklah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.
Tambahnya, penegasan itu turut selari dengan teguran berterusan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua agensi kerajaan mematuhi sepenuhnya peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan pekeliling perkhidmatan sedia ada.
“Kegagalan mematuhi arahan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan termasuklah surat-menyurat merupakan satu tindakan yang mencabul Perlembagaan dan boleh disifatkan sebagai usaha menjatuhkan martabat Bahasa Melayu,” katanya.
Kenyataan itu menambah, Bahasa Melayu bukan sekadar wahana pentadbiran tetapi merupakan simbol kedaulatan dan identiti kebangsaan yang wajib dipertahankan dan perlu dimartabatkan pada semua peringkat perkhidmatan awam.
Katanya, DBP sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan Bahasa Melayu, sentiasa bersedia membantu meningkatkan taraf Bahasa Melayu pelbagai pihak yang memerlukan.
“DBP juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana kementerian atau kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan Bahasa Melayu dan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap dasar bahasa kebangsaan,” katanya.
Sebelum ini, pelbagai pihak mempersoalkan keputusan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memilih nama I Lite U bagi projek pencahayaan bandar yang disifatkan membelakangkan bahasa kebangsaan.
Bagaimanapun, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, penggunaan nama dalam Bahasa Inggeris bagi projek pencahayaan di Bukit Bintang itu hanya bersifat gimik pemasaran bagi menarik perhatian pelawat khususnya pelancong antarabangsa. – MalaysiaGazette
















