SHAH ALAM – Polis mengesahkan punca kematian mayat yang ditemukan di sungai berdekatan sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Bandar Sunway bulan lalu belum dapat ditentukan kerana sudah mereput.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan terperinci dari Jabatan Kimia untuk membantu mencari punca kematian bagi membantu siasatan.
“Bagi kes ini tiada sebarang tangkapan dilakukan sehingga kini, dan identiti mayat juga tidak dapat ditentukan.
“Ini kerana tiada individu yang tampil untuk membuat pengecaman atau pengesahan bersabit kes orang hilang dan sebagainya namun kita masih meneruskan usaha tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan, polis sedang menyiasat penemuan mayat di tepi sungai berhampiran Taylor’s College, Bandar Sunway pada 31 Oktober lalu
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu daripada orang awam sekitar pukul 7.10 malam.
Menurutnya, mayat itu ditemui dalam keadaan yang hanya memakai seluar panjang dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari berdasarkan keadaan fizikalnya.
“Identiti serta bangsa si mati belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai.
“Pemeriksaan fizikal juga tidak dapat dijalankan di tempat kejadian berikutan keadaan mayat yang tidak sempurna,” katanya dalam kenyataan
Wan Azlan turut memaklumkan,mayat terbabit kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette
Mayat tak dikenal pasti ditemukan berhampiran Taylor’s College
















